PUTRAJAYA: Malaysia menggesa Kerajaan Sudan menghormati Perjanjian Promosi dan Perlindungan Pelaburan Dua Hala yang berkuat kuasa antara Malaysia dan Sudan.
Ketegasan itu antara perkara yang disampaikan Kementerian Luar kepada Kuasa Usaha Sudan di Kuala Lumpur yang dipanggil ke Wisma Putra hari ini, bagi menyampaikan kebimbangan Malaysia mengenai isu yang melibatkan Petronas Sudan Complex di Khartoum.
Menurut kenyataan Wisma Putra, ia adalah kali kedua pihaknya memanggil Kuasa Usaha Sudan di Kuala Lumpur itu iaitu antara beberapa usaha diplomatik bagi menyelesaikan isu tersebut sekali gus memberi jaminan kementerian itu terus memantau rapat perkembangan isu ini dalam memelihara kepentingan Malaysia di Sudan.
“Selain itu, memandangkan kompleks tersebut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia, Kerajaan Sudan juga digesa menghormati status Kedutaan Besar kita sebagai sebuah entiti diplomatik, sebagaimana termaktub dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.
“Walaupun proses timbang tara yang diaktifkan Petronas telah bermula, kementerian berharap isu ini dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat, demi memelihara hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dan Sudan,” katanya hari ini.
Kementerian juga ingin memaklumkan bahawa semua rakyat Malaysia yang bermastautin di Sudan serta berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia, berada dalam keadaan selamat.
Jelas kenyataan itu, Kerajaan Malaysia amat khuatir mengenai isu tersebut, namun sejak tercetusnya isu ini pada Disember 2020, Kementerian Luar telah bekerjasama rapat dengan Petronas, termasuk melalui Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, bagi menanganinya.
Semalam, Petronas memaklumkan bahawa pihaknya akan mencabar waran tangkap yang dikeluarkan kerajaan peralihan Sudan terhadap pengurus negaranya.
Petronas berkata, syarikat usaha samanya di Sudan, PetroDar Operating Company (PDOC) sedang mendapatkan bantuan guaman untuk membatalkan waran tangkap yang dianggap tidak sah berkaitan dakwaan kesatuan perdagangan yang dibuat terhadap PDOC.
Portal Daily Sabah yang berpangkalan di Turki sebelum ini mendedahkan, kerajaan peralihan Sudan mengeluarkan waran tangkap terhadap pengurus negara Petronas di negara itu susulan ketegangan kedua-dua pihak selepas pemerintah Sudan merampas aset Petronas di Khartoum.
Rampasan melibatkan tanah dan kompleks ibu pejabat Petronas itu dibuat atas dakwaan penglibatan dalam rasuah dan pemerolehan tidak sah oleh syarikat itu ketika era pemerintahan Presiden Omar Al-Bashir.
Kerajaan peralihan Sudan bertindak merampas tanah yang sepatutnya digunakan untuk membina ibu pejabat dan kemudahan milik Petronas yang didaftarkan di bawah nama anak syarikatnya, Nada Properties Company Limited (NPCL), malah, Sudan turut memindahkan hak milik NPCL kepada Kementerian Kewangannya.
Petronas sebelum ini menegaskan aset-aset yang dirampas itu miliknya yang diperoleh secara sah di sisi undang-undang. – UTUSAN ONLINE