Majikan tanggung semua kos bawa masuk pekerja asing - Hamzah

Majikan tanggung semua kos bawa masuk pekerja asing

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan semua kos bagi membawa masuk pekerja asing ke negara ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kos berkenaan termasuklah kos kuarantin dan ujian saringan Covid-19.

Beliau berkata, sektor perladangan menjadi sektor pertama yang dibenarkan untuk menerima kemasukan pekerja asing baharu.

“Ketibaan semua pekerja asing hanya melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 manakala, bagi pintu masuk ke Sabah dn Sarawak akan diumumkan kemudian.

“Selain itu, tempoh kuarantin pula akan diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan tempoh kuarantin wajib selama tujuh  hari di pusat kuarantin yang telah diperakui oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, seramai 147,705 orang pendatang tanpa izin (PATI) telah berdaftar menerusi Pelan Rekalibrasi PATI.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 124,423 orang PATI telah pulang ke negara asal yang mana kerajaan telah menjana RM71.3 juta daripada pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang ini melalui bayaran kompaun yang dikutip. 

“Kejayaan pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang ini didorong oleh pembukaan kaunter khas untuk memudah cara kepulangan PATI di beberapa pintu keluar negara seperti KLIA, KLIA2, Stulang Laut dan Pasir Gudang.

“Bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula, seramai 212,926 orang PATI telah berdaftar untuk diregularisasikan sebagai pekerja asing yang sah. 

“Daripada jumlah itu, seramai 34,318 orang PATI telah lulus verifikasi dan 20,889 gagal verifikasi. Manakala, seramai 157,719 orang PATI masih belum hadir proses verifikasi di JIM,” katanya.

Katanya, kesemua peserta yang gagal dalam proses regularisasi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan secara automatik dihantar pulang melalui Program Rekalibrasi Pulang. 

Hamzah berkata, kutipan wang cagaran untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja terkumpul sehingga 20 Oktober lalu adalah sebanyak RM106.4 juta.

“Kerajaan akan terus melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga 31 Disember depan dengan membuka semua sektor kecuali sektor beku.

“Saya ingin ingatkan kepada majikan yang masih menggajikan PATI untuk tampil dan berdaftar dengan Pelan Rekalibrasi PATI supaya semua individu yang berada di Malaysia adalah berdokumen dan sah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN