Mahkamah kekal keputusan batal pengislaman dua kanak-kanak -

Mahkamah kekal keputusan batal pengislaman dua kanak-kanak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur empat tahun lalu yang membenarkan permohonan seorang ahli perniagaan untuk membatalkan sijil penukaran agama anak-anaknya.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan bersidang bersama-sama Datuk Nantha Balan E.S. Moorthy dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati tiada sebarang kekhilafan yang dibuat oleh mahkamah terdahulu yang membolehkan keputusan tersebut dipinda.

“Kami berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Tinggi dan kami, Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi. Kami juga mendapati tiada sebarang kesilapan yang boleh dirayu.

“Oleh itu, kami mendapati rayuan hari ini tidak mempunyai sebarang merit dan kedua-dua rayuan ditolak dan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan. Tiada sebarang perintah berhubung kos,” katanya.

Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Dalam kes hari ini, ibu kedua-dua kanak-kanak itu menukarkan agama mereka ketika itu berusia lapan dan tiga tahun kepada Islam pada 11 Mei 2016 tanpa pengetahuan dan keizinan bapa mereka. Wanita terbabit memeluk Islam pada Disember 2015.

Pasangan itu mendirikan rumahtangga pada 23 Disember 2006 sebelum memfailkan petisyen perceraian pada 11 Mei 2016 di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, ahli perniagaan yang beragama Budha itu diwakili peguam K. Shanmuga manakala peguam, Salim Bashir Nizam Bashir mewakili Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan. Ibu kanak-kanak tersebut diwakili peguam Arham Rahimy.

Pada 14 Jun 2016, bapa kanak-kanak itu yang juga seorang ahli perniagaan, telah mengemukakan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memohon mahkamah membatalkan perakuan penukaran agama itu dan perintah larangan untuk menghalang responden (ibu dan Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan) atau ejen mereka daripada mendaftarkan kedua-dua anak berkenaan sebagai orang Islam.

Pada 16 bulan Oktober 2018, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan untuk membatalkan sijil penukaran agama kanak-kanak itu. Ibu dan Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, hak penjagaan penuh kanak-kanak tersebut telah diserahkan kepada bapa selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan ahli perniagaan itu untuk membatalkan hak penjagaan yang sebelum ini diberikan kepada bekas isterinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya