GEORGETOWN: Kerajaan Pusat disaran menggubal rang undang-undang untuk melindungi hak dan kepentingan pekerja mengikut perkembangan semasa termasuk mengkaji gaji minimum bagi memastikan nasib pekerja lebih terjamin.
Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, sekiranya kerajaan tidak membuat pengubahsuaian terhadap gaji pekerja, ia bukan sahaja memberi impak kepada kehidupan mereka tetapi turut mempengaruhi pembangunan ekonomi negara.
“Kajian perlu dijalankan kerana kadar gaji serta beban tugas pekerja dengan RM1,200 gaji minimum yang ditetapkan tidak setimpal dengan tahap pertumbuhan gaji untuk masa sekarang.
“Sekiranya gaji minimum sekarang tidak dikaji dan diubah suai mengikut perkembangan semasa, ia tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, dengan gaji minimum pada masa ini, mustahil untuk seorang pekerja mempunyai kehidupan yang baik di Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang dan bandar-bandar besar yang lain.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan ingin menjadikan negara kita sebuah negara yang berpendapatan tinggi.
“Namun, kadar upah pada masa ini yang diberi tidak setimpal dengan apa yang diusahakan jadi adalah sukar untuk kerajaan mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, kehidupan graduan universiti yang baharu tamat pengajian akan tertekan dan mengalami kesulitan sekiranya mereka dibayar dengan gaji di bawah RM2,000.
“Sekiranya tiada tindakan semakan kepada gaji minimum di negara kita diambil, ekonomi dan kehidupan rakyat tidak akan bertambah baik.
“Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memfokuskan membantu golongan miskin dan rancangan menjadikan negara berpendapatan tinggi, maka kerajaan harus mengkaji semula kadar kenaikan gaji minimum untuk memperbaiki kualiti kehidupan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE