Lebih 100 duta asing dirai bagi promosi Malaysia ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB - Utusan Malaysia

Lebih 100 duta asing dirai bagi promosi Malaysia ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menjadi tuan rumah bagi Majlis Resepsi Secara Maya Bersama Kor Diplomatik disertai lebih 100 duta asing dan ahli kor itu.

Program berkenaan diadakan bagi mempromosikan pencalonan Malaysia sebagai antara 47 anggota dalam Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) bagi tempoh penggal 2021 sehingga 2024.

Resepsi itu memberi beliau peluang berkongsi aspirasi Malaysia menjelang hari pengundian pada 14 Oktober ini ketika Perhimpunan Agung ke-76 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Antara lain, beliau menekankan pendekatan menyeluruh yang akan diambil Malaysia dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia sejagat,” kata kenyataan Wisma Putra di sini.

Komitmen ini terutamanya menerusi mekanisme standard Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang digariskan Sekretariat HRC selaras proses reformasi PBB yang kini berusia 76 tahun.

Beliau juga menekankan azam Malaysia melaksanakan kewajipannya di bawah Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) dan pelbagai perjanjian antarabangsa yang seumpamanya.

Ini ujar beliau, turut meliputi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Asasi Orang Kurang Upaya (CRPD).

Saifuddin juga menyentuh mengenai inisiatif Malaysia untuk mengkaji pelbagai instrumen teras hak asasi manusia yang lain demi memastikan pemahaman di peringkat akar umbi.

“Malaysia memberi jaminan akan bekerjasama dengan semua pihak dalam HRC terutama pelapor khas dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia,” jelas Wisma Putra lagi.

Justeru tegasnya, Malaysia menekankan kepentingan dalam memupuk semangat kerjasama, keterlibatan membina dan menyeluruh, telus, saling hidup aman serta hormat satu sama lain.

Selain itu, Malaysia turut memfokus kepada isu belia, golongan rentan, perniagaan, perubahan iklim, hak budaya dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 yang disasarkan oleh PBB.

Acara resepsi itu juga mendapat sokongan oleh Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Othman Hashim yang turut menyuarakan dukungan amat kuat.

Malah, Suhakam menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan untuk melindungi hak asasi manusia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 serta pelbagai mekanisme nasional lain.

“Pencalonan Malaysia sebagai ahli HRC kali ini telah menerima sokongan daripada organisasi serantau ASEAN dan Kumpulan Rantau Asia Pasifik PBB,” tambah kenyataan Wisma Putra.

Ini ujar Saifuddin, dibantu kisah kejayaan aktif Malaysia ketika pernah menjadi anggota HRC sebanyak dua kali pada 2006-2009 dan 2010-2013, bahkan kali ini dijangka lebih hebat lagi.

Dengan membawa tema In Unity for Humanity atau Dalam Kesatuan Demi Kemanusiaan, Malaysia menzahirkan ikrar komitmen jitu jika dipilih lagi ke arah kemajuan hak asasi sejagat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya