Laporan statistik perlu pantas, relevan tuntutan semasa - Utusan Malaysia

Laporan statistik perlu pantas, relevan tuntutan semasa

  MUSTAPA Mohamed ketika berucap merasmikan Persidangan Statistik Malaysia Kelapan (MyStats) 2021 dan Hari Statistik Sedunia hari ini. – IHSAN DOSM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Komuniti statistik tempatan perlu melengkapkan diri dengan perkembangan semasa bidang perangkaan sejagat yang semakin pantas berubah sejajar peredaran zaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ahli statistik turut harus cakna isu perubahan terkini bagi memenuhi jangkaan tinggi masyarakat.

Beliau berkata, kemunculan wabak Covid-19 pada awal tahun lepas mengubah bidang perangkaan apabila data disiarkan pantas secara berkala setiap minggu.

 “Kita wajar dapat isi jangkaan sebegini kerana penyebaran cepat data granular atau terperinci dan telus amat dikehendaki warga Malaysia yang semakin prihatin isu statistik.

 “Pandemik Covid-19 telah melonjakkan kepentingan statistik. Rakyat mahu ada laporan terbaharu terutama kes pengangguran dan inflasi kerana bagi mereka, statistik tidak menipu,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Statistik Malaysia Kelapan (MyStats) 2021 bersempena sambutan Hari Statistik Sedunia secara maya, di sini hari ini.

 Yang hadir sama Ketua Perangkawan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dan Presiden Institut Statistik Malaysia, Prof. Dr. Ibrahim Mohamed.

 Hari Statistik Sedunia yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Perangkaan Pertubuhan Bangsa Bersatu mula diraikan sejak 2010 lalu dan ketika ini turut disambut sejumlah 103 buah negara.

 Pada masa sama, beliau menyifatkan tugas perangkawan sebagai kerjaya yang dihormati, dimuliakan dan mustahak dalam menyalurkan maklumat sahih boleh dipercayai masyarakat.

 Lebih membanggakan beliau, meskipun ada kekangan cabaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, laporan kajian DOSM masih mampu diterbitkan tepat pada waktunya melibatkan keseluruhan 519 penerbitan pelbagai tahun sepanjang tahun lalu dan sejumlah 269 lagi setakat 30 September lepas yang turut disiarkan atas platform maya.

Bagaimanapun, halangan masih ada apabila proses bancian penduduk yang sepatutnya siap pada 24 Oktober 2020 terpaksa dianjak hingga akhir bulan ini ekoran kebimbangan isu wabak.

“Insya-Allah, saya yakin ia mampu diselesaikan kerana data sehingga 14 Oktober lalu, pihak DOSM sudah pun melakukan bancian ke atas 90 peratus populasi,” katanya.

 Perolehan bancian nasional yang dilakukan setiap 10 tahun itu ujarnya, amat mustahak, bagi memastikan kerajaan dapat merancang dengan tepat pembangunan negara lebih holistik termasuk dalam perancangan bidang kesihatan dan ekonomi masa depan yang menuntut statistik lebih jitu bagi menggambarkan senario masa sebenar di lapangan. – UTUSAN ONLINE 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN