LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C di kedudukan enam batu nautika timur laut Pulau Jarak dekat sini petang semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan rondaan bersepadu Op Benteng dan Op Sayong mengesan bot mencurigakan itu di perairan Pulau Jarak kira-kira pukul 3.15 petang.
“Pemeriksaan mendapati bot Kelas C tersebut dikendalikan tiga kru warga Thailand dan seorang kru warga Kemboja, disyaki menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan serta tidak mematuhi syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang dari 12 batu nautika.
“Tiga kru mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit yang sah manakala dokumen seorang lagi kru didapati telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Berikutan itu kata Shahrizan, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (B) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959 bagi kesalahan dokumen tamat tempoh.
Terdahulu, dua buah bot nelayan tempatan Kelas B pula ditahan di kedudukan 2.7 sehingga 3.1 batu nautika timur Pulau Lalang lebih kurang pukul 11.30 pagi pada Isnin lalu.
Menurut Shahrizan, bot tersebut masing-masing dikendalikan dua kru warga tempatan berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun.
Jelasnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tersebut melakukan aktiviti perikanan di sekitar kedudukan 2.7 batu nautika iaitu kurang dari lima batu nautika yang dibenarkan oleh syarat sah lesen dan boleh disabitkan kesalahan juga di bawah Seksyen 8 (B) akta sama.
Shahrizan memberitahu kesemua kru dan tekong bot serta hasil tangkapan ikan kira-kira 580 kilogram diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu, Sitiawan bagi siasatan dan tindakan lanjut.
“Penahanan ini membuktikan Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut.
“Justeru orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737,” jelasnya.