Lantikan tetap doktor kontrak masih tergantung?  - Utusan Malaysia

Lantikan tetap doktor kontrak masih tergantung? 

Doktor kontrak terpaksa bersabar untuk satu tempoh yang panjang untuk melihat isu lantikan ke jawatan tetap diselesaikan oleh kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan sejumlah RM100 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3,000 pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dengan penajaan tersebut, kini doktor kontrak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana bagi bergelar pakar perubatan.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul tidak menyebut secara khusus bentuk tajaan yang akan diberikan kepada doktor kontrak namun ia dikaitkan dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) dengan atau tanpa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Antara lain, pengumuman itu belum menjawab persoalan dan penantian semua doktor kontrak mengenai pelantikan mereka secara tetap dalam Kementerian Kesihatan melalui sistem yang lebih telus seperti dilaporkan sebelum ini.

“Kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian,” katanya semasa pembentangan Belanjawan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, perolehan HLP bagi doktor kontrak tidak mudah kerana mensyaratkan hanya doktor tetap yang berkhidmat dengan kerajaan sekurang-kurangnya tiga tahun layak menyambung pengajian kepakaran namun bergantung dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 85 peratus. 

Selain HLP, doktor kontrak boleh menyambung pelajaran secara parallel pathway tetapi atas tanggungan sendiri selain hanya terhad kepada disiplin-disiplin perubatan tertentu.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak di seluruh negara sebelum ini terpaksa mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai lalu akibat kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada semua doktor kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci.

Terdapat lebih kurang 23,000 doktor yang bekerja di bawah sistem kontrak sejak kerajaan memperkenalkannya sejak 2016.

Mengulas lanjut, kata Tengku Zafrul, kerajaan juga bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khdimat wajib selama dua tahun.

“Kerajaan akan menyambung tempoh perkhidmatan kepada maksimum empat tahun bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan sebagai persediaan pengajian kepakaran mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN