Lam Thye cadang tubuh biro warga emas - Utusan Malaysia

Lam Thye cadang tubuh biro warga emas

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan penubuhan biro warga emas bagi mewujudkan segala bentuk perlindungan yang diperlukan untuk kesejahteraan penduduk negara ini yang berusia dan tua. 

Beliau berkata, ini kerana dalam masa kurang dari 10 tahun, Malaysia dijangka menjadi negara tua iaitu 15 peratus penduduk negara ini berkemungkinan berumur dalam lingkungan 60 tahun ke atas.

Katanya, hal ini bermaksud bahawa adanya cabaran yang lebih besar bagi pihak kerajaan, bahagian perubatan, industri perkhidmatan dan ahli keluarga untuk memenuhi keperluan masa depan warga emas. 

“Persoalannya kini, adakah kita cukup bersedia untuk apa yang akan terjadi? Sudah banyak masalah yang kita hadapi dan jika kita tidak mengatasinya sekarang, masalahnya akan berlipat ganda pada tahun 2030.

“Kesihatan adalah masalah utama bagi hampir semua orang yang berusia di atas 60 tahun, maka kerajaan harus memberi mereka pemeriksaan perubatan tahunan percuma dan keutamaan rawatan di hospital kerajaan. 

“Ini harus ditambah dengan pemberian alat bantuan kesihatan seperti alat bantuan pendengaran, cermin mata, kerusi roda, dan gigi palsu yang memerlukan pembiayaan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Khamis lepas, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata,  Malaysia dijangka beralih kepada status negara tua lebih awal berbanding unjuran yang dibuat sebelum ini. 

Menurut Lam Thye, pemeriksaan perubatan percuma itu disifatkan perlu kerana kebanyakan warga emas terutama mereka yang berada dalam kumpulan B40 dijangka mengalami masalah kewangan dan tidak mempunyai banyak simpanan apabila mencecah usia tersebut. 

“Satu laporan baru-baru ini mengatakan bahawa sekurang-kurangnya separuh daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal mempunyai simpanan hanya RM10,000 pada usia persaraan. Ini sangat tidak mencukupi bila dibandingkan dengan kos sara hidup hari ini.

“Justeru, kita perlu ada mekanisme keselamatan sosial untuk membantu mereka dalam kes seperti itu dan ini termasuklah subsidi atau potongan khas untuk bahan makanan, bil utiliti, dan perkhidmatan penting yang lain,” katanya, 

Bagi keutamaan rawatan, beliau berkata, sejak kebelakangan ini, keutamaan rawatan itu terutamanya kepada warga emas agak terkebelakang. 

“Lebih menyedihkan apabila melihat banyak dari mereka yang terpaksa beratur berjam-jam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), hospital, dan ruang menunggu bahkan terpaksa menunggu lama di bawah terik matahari, maka keadaan ini perlu diperbaiki segera,” katanya. 

Tambah beliau, menjelang usia tua, maka udah tentu mereka dilanda kebosanan dan kesepian terutamanya apabila sebahagian dari mereka ditinggalkan oleh ahli keluarga serta dianggap sebagai beban yang diabaikan.

Justeru katanya, perkara tersebut dapat mempengaruhi kesihatan mental mereka dan menyebabkan ketidakseimbangan emosi yang boleh menimbulkan rasa tidak selamat serta ketakutan dalam diri mereka.

“Bercakap mengenai rasa tidak selamat, populasi warga tua kita juga terdedah kepada penipuan kewangan berikutan peningkatan kes penganiayaan kewangan (financial abuse) warga tua.

“Kira-kira satu daripada setiap 100 warga emas di Malaysia telah mengalami penganiayaan kewangan sama oleh mereka yang dikenali atau orang asing seperti mana dilaporkan menurut National Health and Morbidity Survey (2018)

“Oleh itu, program yang berkenaan mesti dilaksanakan untuk membantu warga tua memahami literasi teknologi digital dan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menguruskan ruang digital,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan rakyat negara ini adalah seorang yang penyayang apabila tidak asing lagi rakyat masa kini untuk memberi laluan kepada warga emas 

“Namun, masih menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mula merancang dari sekarang bagi memenuhi pelbagai keperluan warga emas kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN