Lagi 2 kampung Orang Asli tamat PKPD - Utusan Malaysia

Lagi 2 kampung Orang Asli tamat PKPD

BEBERAPA petugas Rela membuat sekatan di laluan utama dekat Kampung Tementong di Pahang ketika PKPD sejak bulan lepas. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua buah lagi perkampungan masyarakat Orang Asli di sekitar Pahang bakal ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak esok.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad turut memaklumkan, tiada lokaliti baharu dikenakan PKPD atau disambung lagi sekatan berkenaan.

Antara yang berakhir PKPD seperti dijadualkan oleh MKN ialah Kampung Tementong dalam Mukim Cheka 1, Daerah Lipis yang mula dilaksanakan sekatan itu pada 16 September lalu.

Perkampungan Orang Asli suku kaum Bateq yang sepenuhnya beragama Islam itu didiami hampir 300 orang dengan wabak Covid-19 akibat kluster komuniti dikesan sejak 7 September.

Jabatan Kesihatan Negeri Pahang merekodkan jumlah keseluruhan 200 kes pandemik tersebut dengan kes terakhir dicatatkan pada Sabtu minggu lalu yang melibatkan 12 orang pesakit.

Turut ditamatkan PKPD esok ialah Kampung Orang Asli Kuala Boh di Pos Menson, Daerah Cameron Highlands yang berhampiran ladang teh dan dihuni lebih 500 penduduk etnik Semai.

Setakat Ahad lepas, jumlah kumulatif seramai 164 kes positif Covid-19 telah direkodkan di perkampungan dalam Mukim Ulu Telom itu yang dikenakan PKPD sejak 30 September lepas.

Kluster komuniti di situ mula dikesan pada 22 September apabila seorang penduduknya menjadi kes indeks setelah keluarganya menunjukkan gejala demam, batuk dan selesema.

Di Pahang, terdapat sejumlah 212 buah perkampungan komuniti Orang Asli yang berdaftar dengan pihak berkuasa serta melibatkan keseluruhan kira-kira 70,000 orang penduduk. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN