Kurang fokus mengembalikan simpanan persaraan dalam KWSP membimbangkan - Utusan Malaysia

Kurang fokus mengembalikan simpanan persaraan dalam KWSP membimbangkan

Kemudahan i-Sayang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bajet 2022 yang kurang memfokuskan mengembalikan simpanan masa persaraan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) amat membimbangkan apabila terdapat 46 peratus pencarum berusia bawah 55 tahun hanya mempunyai simpanan kurang RM10,000.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesejahteraan semasa persaraan adalah isu nasional dan jika tidak ditangani akan membebankan kerajaan dalam jangka masa panjang.

“Seperkara yang sangat membimbangkan ialah kekurangan fokus dalam Bajet 2022 untuk mengembalikan simpanan masa persaraan dalam KWSP apabila 46 peratus ahli yang berusia di bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka. 

“Apa akan terjadi kepada golongan paling terkesan ini semasa persaraan nanti? Kesejahteraan semasa persaraan adalah isu nasional yang jika tidak ditangani, akan membebankan kerajaan dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 yang merupakan belanjawan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM332.1 bilion.

Daripada jumlah tersebut, RM233.5 bilion akan diperuntukan untuk perbelanjaan operasi, RM75.6 billion bagi pembangunan dan RM23 bilion akan diperuntukkan bagi dana Covid-19 manakala RM2 bilion akan diperuntukkan bagi simpanan luar biasa.

Terdahulu, Mohamad memberitahu, Bajet 2022 secara keseluruhannya merupakan belanjawan bersifat inklusif dan berkebajikan apabila pelbagai bantuan tunai diperuntukkan kepada pelbagai golongan sasar melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Katanya, pelbagai bantuan spesifik juga ditawarkan untuk memastikan tiada golongan tercicir termasuk anak yatim akibat Covid-19, mangsa keganasan rumah tangga, atlet kurang upaya, masyarakat orang Asli serta rakyat menghadapi isu kesihatan mental.

“Nyata kerajaan memandang semua mereka ini dengan ihsan dan tanggungjawab. Secara keseluruhannya Bajet 2022 adalah bajet mengembang untuk terus memacu pemulihan daripada dwi krisis mencakupi aspek kesihatan dan ekonomi,” katanya.

Menurut beliau, langkah memperluaskan asas cukai seperti memperkenalkan penggunaan nombor pengenalan cukai amat bertepatan apabila Bajet 2022 menyaksikan kerajaan berbelanja dengan banyak, justeru strategi konsolidasi fiskal jangka panjang mesti segera dilaksanakan.

Jelasnya, pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai pendapatan dan perniagaan yang tidak atau gagal diisytiharkan adalah wajar diperkenalkan bagi membantu kedudukan fiskal negara.

“Usaha mempelbagaikan sumber hasil negara amatlah penting kerana Malaysia tidak boleh lagi bergantung dengan hasil berasaskan petroleum. Ia diunjurkan akan menyumbang hanya 18.8 peratus daripada jumlah hasil 2022. Ketidaktentuan harga minyak global akan menjejaskan hasil pendapatan negara lalu membahayakan kemapanan fiskal keseluruhan.

“Selain itu, amatlah perlu Bajet 2022 sehaluan dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk memacu pertumbuhan pantas ekonomi negara. Bajet 2022 wajar memperincikan pelaksanaan segera pelbagai projek RMK12 sebagai impetus ekonomi yang boleh merancakkan kebangkitan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau kemudian berharap kerajaan mesti memastikan bajet yang diumumkan ini diagihkan dengan berkesan, telus dan segera.

“Pengagihan yang kemas dan segera akan merancak ekonomi negara dan menyokong pertumbuhan jangka panjang. Hanya dengan cara sedemikian kita mampu membina semula daya ketahanan rakyat dan negara bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan,” jelas Mohamad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya