Konsep Keluarga Malaysia berpaksi keluhuran Perlembagaan Persekutuan - Utusan Malaysia

Konsep Keluarga Malaysia berpaksi keluhuran Perlembagaan Persekutuan

Ismail Sabri Yaakob melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kanan) sempena Pra Pelancaran ‘Keluarga Malaysia’ yang berlansung di Auditorium Perdana, Angkasapuri hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep Keluarga Malaysia berpaksikan kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

Tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dijadikan sebagai nilai dalam konsep Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, konsep yang diperkenalkan bukan sesuatu yang sukar dihadam kerana ia berlandaskan nilai sedia ada yang dimiliki dalam setiap keluarga.

Katanya, nilai setiap Keluarga Malaysia juga disifatkan sebagai komponen penting demi menentukan jatuh atau bangun negara ini.

“Amalan hidup saling bermuafakat dan tidak berpecah-belah yang diamalkan sebagai Keluarga Malaysia umpama peribahasa ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’. Apa yang dilakukan kerajaan adalah mengharmoni dan mengangkat nilai-nilai ini sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum.

“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara manakala batang serta ranting menjulang kukuh nilai Keluarga Malaysia yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya, memanfaatkan rakyat. Inilah metafora Keluarga Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Pra Pelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini hari ini.

Ahli Skuad Sukarelawan ‘Keluarga Malaysia’ memakai jaket yang dilancarkan oleh Perdana Menteri di Majlis Pra Pelancaran ‘Keluarga Malaysia’ yang berlansung di Auditorium Perdana, Angkasapuri hari ini. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI/PIX ONLY

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, majlis prapelancaran itu adalah manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan untuk meningkatkan usaha menyebar luas konsep serta hala tuju Keluarga Malaysia.

Beliau menjelaskan, ia seiring dengan perjalanan negara memulih dan mengembalikan negara daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang dilalui.

“Kejayaan itu membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu pasca pandemik.

“Oleh itu, pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengingatkan kembali bahawa keutamaan kita adalah untuk memerangi kemelut kesihatan dan ekonomi tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah.

“Usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran yang kita miliki.

“Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur hasur dikembalikan. Yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada Keluarga Malaysia, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya