PUTRAJAYA: Komuniti merekodkan pertambahan tiga daripada enam kluster Covid-19 hari ini, manakala bakinya, dua kluster tempat kerja dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster komuniti melibatkan satu di Selangor, satu di Sabah dan satu di Negeri Sembilan.
“Kluster tempat kerja pula, satu di Selangor dan satu di Negeri Sembilan manakala satu kluster kumpulan berisiko tinggi di Sabah.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 591 kluster manakala 5,114 kluster yang telah tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 6,210 kes berbanding semalam, 5,516 kes sekali gus terus diatasi 7,562 kes sembuh.
Selain itu katanya, sebanyak 677 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 319 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 6,210 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 116 kes (1.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, 6,094 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan penurunan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 76 kes berbanding kelmarin, 69 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 6 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 28,138 kes.
Sebanyak 14 daripada 76 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,680 kes. – UTUSAN