Kes penyalahgunaan dadah di ibu negara menurun - Utusan Malaysia

Kes penyalahgunaan dadah di ibu negara menurun

AZMI ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks kes penyalahgunaan dadah bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur merekodkan penurunan dalam tempoh tiga tahun sejak 2019.

Berdasarkan statistik, sebanyak 12,949 kes direkodkan pada 2019 menurun kepada 9,048 kes (2020) manakala bagi tahun ini sehingga 24 Oktober lalu, sebanyak 7,765 kes direkodkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam tempoh sama, seramai 16,949 individu ditahan membabitkan rampasan dadah bernilai RM29 juta pada 2019 manakala seramai 11,224 orang ditahan dengan nilai RM149 juta dadah dirampas pada 2020.

Jelas beliau, bagi tahun ini sehingga 24 Oktober lalu, seramai 9,732 individu ditahan dengan rampasan dadah bernilai RM49 juta.

“Penurunan itu sekali gus membuktikan operasi berterusan jabatan berkenaan dalam memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah di ibu kota,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo.

Sementara itu, Azmi berkata, JSJN Kuala Lumpur akan melupuskan 776 kilogram (kg) dan 372 liter dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM39.36 juta yang dirampas dari 2008 hingga tahun lalu.

Menurutnya, kesemua dadah berkenaan akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan, esok.

“Antara dadah utama yang akan dilupuskan terdiri daripada methamphetamine seberat 237 kg bernilai RM23.7 juta, kanabis 179 kg (RM8.96 juta), ketum 131 kg (RM13,000), heroin 55 kg (RM1.95 juta), kafein 14 kg (RM4,000) dan ketamin 10 kg (RM1.5 juta).

“Pelupusan barang kes dilaksanakan mengikut peruntukan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, sebanyak 13,935 kertas siasatan membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952 yang disiasat dari 1982 hingga 2015 dan selesai kes di mahkamah serta mendapat perintah pelupusan juga akan dilupuskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN