SEREMBAN: Kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kesihatan perlu bagi menjayakan agenda melahirkan rakyat yang sihat dan cergas di negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerjasama rentas kementerian itu perlu bagi melahirkan masyarakat khususnya generasi muda yang aktif sekali gus membantu ini menjadikan negara yang sihat.
“Kalau KBS dapat melaksanakan tugas dengan baik untuk melahirkan generasi yang cergas aktif dan bersukan ini, secara langsung akan membantu Kementerian Kesihatan yang menjaga kesihatan rakyat Malaysia. Saya mahu negara ini menjadi negara yang sihat sejahtera.
“Bagaimanapun, sekiranya pihak KBS tidak membantu dengan melahirkan generasi muda yang sihat, cergas dan aktif maka negara akan berdepan dengan masalah yang sangat besar pada esok hari nanti.
“Disebabkan itu, kalau hendak menjadikan Malaysia sebagai negara yang sihat sejahtera, perlu menjayakan merentasi kementerian dan KBS telah menjalankan tugas dengan begitu cemerlang sempena Hari Sukan Negara (HSN) iaitu tampil dengan agenda nasional agar rakyat sihat dan cergas,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan HSN 2021 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini hari ini.
Sementara itu, Khairy memaklumkan, Malaysia merupakan antara negara terbaik bagi kadar vaksinasi Covid-19 untuk golongan dewasa yang telah mencapai peratusan sehingga 89.4 peratus.
“Kalau diikutkan tidak sampai 0.06 peratus, kemungkinan rentas negeri akan dibenarkan dua hingga tiga hari lagi.
“Tunggu la pengumuman dari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya. -UTUSAN ONLINE