KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan KHO sebagai pelengkap kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mekanisme itu diwujudkan bagi memastikan setiap produk Keluarga Malaysia memberi impak positif seperti yang diharapkan.
“Bagi memastikan kejayaan idea Keluarga Malaysia ini, setiap kementerian dan agensi kini sedang giat mengenal pasti produk yang bersesuaian untuk diangkat menjadi sebahagian usaha membantu rakyat.
“Ini merupakan langkah untuk menyemai budaya khidmat, berorientasikan prestasi bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya ketika merasmikan Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri, di sini hari ini.
Atas dasar itu, kata Perdana Menteri, garis panduan tersebut dibentuk selaras dengan kaedah kayu pengukur yang digunakan oleh pelbagai negara di seluruh dunia.
“Oleh itu, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan yang juga merupakan pelengkap kepada KPI.
“Garis panduan ini akan dibentuk berasaskan nilai sejagat sedia ada, termasuk Indeks Kebahagiaan yang diguna pakai kebanyakan negara di seluruh dunia,” katanya.