Kerajaan beri tumpuan perkembang e-Sukan dalam Belanjawan 2022

Kerajaan beri tumpuan perkembang e-Sukan dalam Belanjawan 2022

MOHD. Shahar Abdullah (berdiri) mendengar penerangan daripada Nureddy Nursal atau DaddyHood mengenai e-Sukan semasa melawat Akademi Soloz, di Johor Bahru. - FOTO/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan memberi lebih tumpuan kepada usaha memperkembang industri sukan elektronik (e-Sukan) dan sub-sektor sukan berkenaan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah berkata, industri itu mempunyai potensi dan nilai komersial tinggi yang mampu menjana pendapatan kepada pemainnya.

Katanya, sejak 2019, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM45 juta bagi menyokong dan menggalakkan perkembangan industri berkenaan.

“Selain usaha meningkatkan lagi pendedahan sektor e-Sukan dalam kalangan masyarakat umum, kerajaan juga berhasrat untuk meneroka pelbagai sub-sektor di dalam industri itu sendiri.

“Kerana setiap sub-sektor berkenaan mempunyai potensi untuk menjana pendapatan baharu kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Akademi Soloz, di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan komited untuk memastikan sokongan berterusan kepada industri e-Sukan negara menerusi Belanjawan 2022 yang akan diumumkan pada 29 Oktober nanti.

Sementara itu, seorang pemain e-Sukan negara, Muhammad Mukhriz Lutfi Fariq Adlan, 22, berharap kerajaan akan dapat mempertingkat kemudahan industri e-Sukan negara dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat baharu.

“Selain daripada bantuan kewangan dalam bentuk penajaan dan pemasaran bagi membolehkan industri itu lebih berkembang maju pada masa depan, kami juga berharap akan ada satu akademi yang dibangun kerajaan sendiri dalam usaha mencari lebih ramai pelapis.

“Ini kerana majoriti pemain e-Sukan negara tidak mempunyai platform untuk mereka mengetengahkan bakat ke peringkat lebih tinggi, sedangkan mereka mempunyai potensi besar dalam industri ini,” jelasnya yang menggunakan nama samaran ‘IronPro’ dalam permainan.

Pendapat sama dikongsikan Pengurus Produksi Homebois, Mohamad Nor Mohd. Mochtar, 40, yang turut berharap kerajaan menyediakan lebih banyak fasiliti khususnya bagi pembangunan industri itu di peringkat akar umbi.

“Malaysia merupakan salah sebuah negara yang sudah dikenal pasti mempunyai bakat-bakat pelapis dalam industri ini.

“Jadi kita berharap perkara itu akan dapat perhatian kerajaan khususnya dalam pembentangan Belanjawan 2022 akan datang,” jelasnya yang sudah tiga tahun berkecimpung dalam bidang tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya