PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan melanjutkan pemberian dos penggalak kepada individu yang telah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan lalu dan akan diberikan dos penggalak vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Bio-NTech secara heterologous.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pemberian dos penggalak itu akan diberikan kepada individu berumur 60 tahun ke atas berdasarkan saranan Strategic Advisory Group of Expert (SAGE) on Immunization daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bersidang pada 4 hingga 7 Oktober lalu.
Jelasnya, sebagai permulaan, pelaksanaan pemberian dos penggalak tersebut bagi yang layak akan dimulakan esok secara berfasa di seluruh negara dan akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
“Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan melalui pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai aplikasi berkenaan.
“Kaedah temu janji juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa dan bukan lagi penerima vaksin boleh membuat temu janji melalui sistem yang sedangkan dibangunkan Kementerian Kesihatan.
“Pemberian dos penggalak ini dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya semasa sidang media khas hari ini. – UTUSAN