Keputusan rayuan Guan Eng akan ditentukan kemudian - Utusan Malaysia

Keputusan rayuan Guan Eng akan ditentukan kemudian

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan rayuan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk memindahkan perbicaraan kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama negeri itu ke Mahkamah Tinggi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang mengetuai panel tiga hakim menyatakan demikian selepas mendengar hujah pihak-pihak yang terlibat.

“Kami memerlukan masa untuk meneliti hujahan. Walaupun kes akan sambung bicara pada minggu hadapan, keputusan kami akan dibuat selepas itu,” katanya.

Turut bersidang bersama beliau ialah Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Hakim Datuk Hashim Hamzah.

Perbicaraan kes Guan Eng telah berjalan sejak 12 Julai lalu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi dan seramai lapan orang saksi dipanggil memberi keterangan. Perbicaraan kes itu dijadualkan bersambung 1 November ini dan difahamkan pihak pendakwaan akan memanggil saksi baharu.

Pada prosiding hari ini, bekas Menteri Kewangan selaku perayu itu diwakili peguam bela, Gobind Singh Deo manakala pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Pada 12 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Guan Eng atas alasan antaranya Hakim Mahkamah Sesyen juga mempunyai kelayakan undang-undang dan sangat berpengalaman untuk membicarakan kes terhadap pemohon.

“Hakim juga mempunyai kebolehan dan mampu menangani sebarang persoalan undang-undang yang berbangkit. Mahkamah mendapati pemohon gagal mematuhi 417(1)(d) Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 61, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu  berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara pukul 12.30 pagi hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga  20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Dalam perbicaraan itu 125 saksi pendakwaan termasuk beberapa Exco dari negeri Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya