Keperluan RUU TVET jamin kualiti pendidikan - Utusan Malaysia

Keperluan RUU TVET jamin kualiti pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Meskipun Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)  menggariskan agenda Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), sebaliknya tiada satu Rang Undang-Undang (RUU) khusus dan menyebabkan kualiti bidang tersebut gagal dicapai.

Jawatankuasa TVET Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan memaklumkan, tanpa RUU yang mengikat semua kementerian yang mempunyai institusi TVET tersendiri kepada jaminan kualiti serta piawaian di bawah Jawatankuasa Akreditasi Tunggal, maka segala perancangan terus terpalit seperti masalah yang dibangkit Jabatan Audit Negara.

Jelas jawatan kuasa itu, ia membabitkan tiadanya kawalan kualiti kurikulum, kurangnya mekanisme pemantauan terhadap tenaga pengajar dan lambakan hutang yang bertambah.

“Pandemik melanda lantas memaksa penutupan hampir kesemua institusi TVET juga menyebabkan terlalu ramai pelajar yang terkebelakang dan tergolong dalam generasi yang kehilangan. Justeru kita tidak mampu lagi membuang masa, iltizam politik diperlukan bagi memastikan segala perancangan dilaksana sepenuhnya.

“Kami secara konsisten membangkit keperluan melulus RUU Suruhanjaya Pendidikan Dan Latihan Kemahiran Industri 2018 yang bertindak mengawal selia program sedia ada serta kualiti setiap program ditawarkan sejajar keperluan industri dan ekosistem TVET serta tidak diserap secara melulu ke dalam laluan akademik semata,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan sama mencadangkan satu entiti tunggal bagi mengawal kesemua institusi TVET khususnya hasil kajian yang dibawa oleh beberapa badan seperti Pricewaterhousecoopers, Boston Consulting Group serta Bank Dunia apabila semuanya mengulangi bahaya bila terlalu banyak kementerian terlibat dengan TVET tanpa keseragaman.

“Akibatnya jumlah pendaftaran pelajar ke dalam bidang TVET jatuh daripada 139,699 pelajar pada 2016 kepada hanya 99,589 pada 2020 dengan jumlah 474,672 graduan TVET sejak 2016 hingga 2020 walau[un sasaran menjelang 2020 adalah sejumlah 900,000 orang.

“Walau diambil kira kesan pandemik, tetapi RMK-11 telah menggunapakai sebanyak RM29.689 bilion dan dibelanjakan menerusi enam agensi utama iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kerja Raya. 

“Kita tidak mahu dana negara dibelanjakan tanpa impak yang jelas buat rakyat,” jelas kenyataan itu.

Justeru jawantan kuasa berkenaan menambah RMK-12  wajib memastikan agenda Pemerkasaan Pendidikan TVET negara dilengkapkan menerusi pengenalan undang-undang yang mampu mengawal kualiti sebaiknya beserta kuasa dan akauntabiliti untuk memastikan segala yang disasar mampu dicapai secara efisien. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN