Kementerian Pendidikan sedia bantu pelaksanaan PRN Melaka

Kementerian Pendidikan sedia bantu pelaksanaan PRN Melaka

MOHD. Radzi Md. Jidin bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di SMK Tun Haji Abd. Malek, Cheng, Melaka, hari ini. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Pendidikan bersedia membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilaksanakan, termasuk hal ehwal penggunaan bangunan sekolah sebagai pusat mengundi. 

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, sekiranya PRN dilaksanakan, pihaknya akan berbincang untuk menetapkan pendekatan yang sesuai bagi memudahkan pelaksanaan pilihan raya tersebut. 

Jelasnya, ia penting untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah tidak terganggu, memandangkan Melaka akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula esok.

“Itu (PRN) tertakluk kepada keputusan SPR. Apa sahaja bantuan yang diperlukan kita akan bantu untuk permudahkan. Sebarang keputusan kita boleh bincang, mengenai apa yang diperlukan dalam konteks tersebut, pendekatan yang sesuai yang kita boleh gunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abd. Malek, Cheng, di sini hari ini. 

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, pengoperasian sekolah mengikut Fasa 4 PPN bagi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka hanya bermula pada 1 November ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, ia melibatkan kemasukan murid bagi Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah.

Menurutnya, kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas  peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah bagi negeri-negeri tersebut akan bermula pada 8 November.

Dalam pada itu, Mohd. Radzi turut memberitahu, kementerian kini sedang memperkemaskan konsep #SekolahkuSejahtera, pertama kali diketengahkan dalam sesi libat urus (SLU) membabitkan guru sekolah rendah, menengah serta wakil persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). 

“Buat pertama kalinya dalam SLU, kami di kementerian sentuh konsep #SekolahkuSejahtera dan sedang mengumpul pandangan setiap yang terlibat. Konsep ini diketengahkan untuk melihat dan membawa pembangunan karakter serta modal insan supaya murid dapat fahami perkara kritikal, sewaktu mereka berada di awal sekolah termasuk etika di sekolah, artikulasi penghujahan dan konteks yang dibawa dalam penghujahan anak-anak ini,” jelasnya. 

Tambahnya, perkara itu sedang diperhalusi supaya ia boleh diterapkan secara langsung dalam proses PdP serta kokurikulum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN