Kembali kepada ajaran Islam selepas 10 tahun - Utusan Malaysia

Kembali kepada ajaran Islam selepas 10 tahun

KETUA Pentadbir Masjid Kariah Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed (kanan) ketika mendengar masalah yang dihadapi oleh Eddy yang hadir di masjid tersebut hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas lebih 10 tahun tersasar daripada ajaran Islam seorang pemuda nekad untuk kembali ke pangkal jalan.

Mahu dikenali sebagai Eddy, pemuda berusia 27 tahun itu berhijrah ke bandar ini pada tahun lalu dengan harapan untuk memulakan kembali kehidupannya.

Bercerita lebih lanjut, dia berkata, kehidupannya terumbang-ambing selepas ibu dan bapanya yang merupakan mualaf meninggal dunia.

Menurut Eddy, bapanya meninggal dunia ketika dia berusia enam tahun manakala ibunya meninggal dunia ketika dia berusia 12 tahun.

“Sebelum memeluk Islam,  bapa saya merupakan seorang berbangsa Cina dan beragama Budha. Ibu pula berasal dari Thailand dan beragama Kristian.

“Saya merupakan anak tunggal dan kami tinggal di Kelantan ketika itu. Selepas mereka meninggal dunia saya hilang arah sebab tiada siapa-siapa ketika itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Kariah Taman Rasa Sayang, Senawang hari ini.

Ceritanya lagi, dia kemudian merantau ke Kuala Lumpur malah pernah mengemis selama seminggu sebelum dijaga sepasang suami isteri berbangsa Cina.

Tambahnya, dia pernah mengemis ketika berhijrah ke Kuala Lumpur selama seminggu sebelum dijaga sepasang suami isteri berbangsa Cina.

“Kalau ibu dan ayah angkat tidak pelawa saya tinggal bersama tidak dapat digambarkan situasi saya sekarang. Hidup saya tersasar kerana saya tidak diajarkan cara hidup seorang Islam sahaja.

‘Namun saya tidak pernah menyalahkan ibu dan bapa angkat kerana mereka telah menjaga saya dengan baik selama ini. Saya faham situasi keluarga angkat yang kurang pengetahuan serta hidup susah,” katanya.

Jelas Eddy, dia telah ke Masjid Kariah Taman Rasa Sayang, Senawang di sini bagi menyatakan hasratnya untuk berubah tersebut.

“Saya bersyukur kerana akhirnya saya berjaya jumpa dengan orang yang betul. Itu merupakan kali pertama saya masuk masjid sejak saya berusia 12 tahun.

“Ahli jawatankuasa masjid menerima saya dengan sangat baik dan mereka mendengar masalah saya dan mahu bersama membantu membimbing saya semula ke pangkal jalan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN