PETALING JAYA: Kegiatan sindiket pelacuran menjadikan rumah persendirian sebagai lokasi melakukan kegiatan tidak bermoral terbongkar selepas enam warga asing ditahan semalam.
Serbuan pada pukul 9.30 malam itu dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Pusat Bandar Jinjang Utara di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil serbuan itu enam wanita warga asing berusia 26 hingga 48 tahun yang dipercayai pelacur ditahan.
“Mereka itu dikesan berselindung di sebalik rumah persendirian bagi mengelak kegiatannya dikesan pihak polis.
“Siasatan awal mendapati mereka baru beroperasi selama dua minggu sebelum serbuan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Eng Lai berkata, wang tunai berjumlah RM200 dirampas selain kondom pelbagai jenama, minyak urut dan tablet.
“Semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan menyalah guna permit pekerjaan.
“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak terbabit di dalam aktiviti yang kurang sihat seperti ini memandangkan negara masih dilanda Covid-19,” jelasnya.