MELAKA: Pakatan Harapan (PH) negeri tetap meneruskan usaha membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 ke mahkamah minggu ini, meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya negeri (PRN) pada 20 November ini.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, langkah tersebut diteruskan bagi membolehkan semakan terhadap proses, prosedur dan fakta pembubaran DUN dapat dilakukan.
Menurut beliau, kelewatan memfailkan kes berkenaan disebabkan kegagalan pihak pengurusan DUN mengeluarkan atau menyerahkan notis pembubaran secara rasmi kepada semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) sehingga kini.
“Pihak DUN Melaka hanya mengeluarkan surat penyerahan Warta Pembubaran DUN ke-14 melalui surat bertarikh 15 Oktober 2021 yang diserahkan pada hari ini.
“PH Melaka akan terus menggunakan perundangan bagi memberi sedikit ruang agar kerajaan yang mempunyai keabsahan majoriti boleh dibentuk dan PRN tidak perlu diadakan.
“Bagaimanapun, PH negeri tetap bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk PRN Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, SPR menetapkan 20 November ini sebagai tarikh PRN Melaka bagi mengisi kekosongan 28 kerusi DUN.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas empat ADUN kerajaan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaimam Md. Ali. – UTUSAN ONLINE










