Kajian pembangunan 613 kampung baru - Halimah

Kajian pembangunan 613 kampung baru 

HALIMAH Mohamed Sadique (kanan) menyantuni seorang warga emas berusia 81 tahun ketika melawat lokasi kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kajian membabitkan 613 kampung baru di seluruh negara dicadang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membangunkan perkampungan berkenaan dengan lebih sistematik sekali gus mengelakkan tragedi seperti kebakaran.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, jumlah itu termasuk 550 kampung baru tradisi yang diwujudkan semasa darurat.

“Saya akan berbincang dengan Datuk Seri Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan) yang pernah menguruskan kampung baru dan kalau perlu kita dapatkan kajian dan lihat perancangan lain untuk pembangunan.

“Untuk membangunkan kampung baru secara keseluruhan di seluruh negara bukan mudah, jadi kalau ada perkara perlu kita akan ambil tindakan kawalan terhadap perkara asas terlebih dahulu,” katanya selepas melakukan tinjauan di kawasan kebakaran Kampung Baru Karak di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ka Siong dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru Karak, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Pada majlis itu Halimah yang bertanggungjawab ke atas semua kampung baru seluruh negara menyampaikan sumbangan RM183,000 untuk pembangunan baru Kampung Baru Karak.

Pada 1 Oktober lalu, 55 buah rumah dan lapan buah kedai musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak yang melibatkan 162 orang mangsa.

Halimah berkata, Kampung Baru Karak yang musnah dalam kejadian kebakaran itu akan dibangunkan semula melalui jawatankuasa khas yang akan menyediakan perancangan pembinaan penempatan baharu melalui dana disumbangkan pelbagai pihak.

“Usaha sedang giat dilakukan termasuklah dengan kerajaan negeri yang mana proses pembinaan akan mula dilakukan secepat mungkin selepas segala proses yang diperlukan siap.

“Antara cabaran dalam membangunkan penempatan baharu ini adalah bagi menyusun pembinaan baharu yang lebih baik di kawasan yang sempit dengan rumah-rumah yang agak rapat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN