SEREMBAN: Mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO di Melaka yang terlibat dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada digugurkan keahliannya daripada parti itu secara automatik.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga berkata, sekiranya Kerajaan Negeri Melaka sudah tidak boleh dipertahankan, adalah lebih wajar pilihan raya kecil dilaksanakan.
“Jika didapati ada ADUN yang melakukan kerja yang boleh meruntuhkan kerajaan secara automatik keahliannya tergugur, itu sahaja daripada pihak parti. Saya berharap wakil-wakil rakyat, Ketua Menteri dan Speaker dapat memainkan peranan.
“Jika Melaka susah-susah sangat kalau tidak boleh meneruskan kerajaan daripada beralih-alih kerajaan, lebih baik adakan pilihan raya kecil negeri supaya yang penting kita boleh beri semula mandat kepada rakyat. Biarlah rakyat yang menentukan daripada sesama kita lompat sana sini, lebih baik pulangkan kepada rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada ibu tunggal, anak yatim dan golongan memerlukan di Masjid Al-Hidayah, Taman Angsamas, Seremban hari ini.
Wujud spekulasi yang mendakwa Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.
Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH). Turut difahamkan keempat-empat ADUN berkenaan sudah menandatangani akuan bersumpah (SD).
Jika ia benar, bermakna kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bakal kehilangan tampuk pemerintahan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, apa yang terjadi di Melaka tiada kaitan dengan UMNO di peringkat Pusat termasuk dalam peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
“Bagaimanapun, ia boleh dibincangkan dalam peringkat Biro Politik dan pengurusan parti kerana ia melibatkan ahli parti,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap undang-undang mencegah Ahli Parlimen atau ADUN daripada melompat parti dapat diluluskan segera di peringkat Parlimen.
“Apabila dikira melompat dan dikira tempat tu kosong kita boleh buat kerusi itu sebagai kepunyaan parti. Penduduk boleh buat petisyen dan penduduk petisyen kerana pilihan raya kecil makan belanja.
“Apabila buat undang-undang tergugur dan kerusi itu kepunyaan parti tersebut maka parti boleh melantik siapa sahaja yang layak,” katanya lagi.