SEREMBAN: Semua jentera UMNO perlu sentiasa bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.
Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sehubungan itu beliau mahu melihat tahap persediaan semua jentera UMNO ketika ini mengambil kira keadaan politik dalam negara yang tidak stabil.
“Ketika ini, saya kira sudah masuk tiga tahun keadaan politik tidak menentu. Jika kerajaan tidak stabil, lebih baik buat PRU (pilihan raya umum) segera daripada keadaan tidak menentu, parti mesti bersiap siaga menghadapi PRU-15 pada bila-bila masa.
“Saya selaku Pengarah PRU parti saya mahu lihat kesiapsiagaan. Saya hendak mengukur tahap kesiapsiagaan mereka dan saya turun ke setiap negeri termasuk menyertai mesyuarat secara Zoom (dalam talian) dengan setiap bahagian, seminggu tiga hingga empat sesi termasuk satu sesi (melibatkan) 10 bahagian,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada ibu tunggal, anak yatim dan golongan yang memerlukan di Masjid Al-Hidayah, Taman Angsamas, Seremban hari ini.
Mohamad yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO menjelaskan, beliau mempunyai data dan maklumat di ‘bilik perang’ mengenai tahap kesediaan jentera parti ketika ini.
“Saya akan turun ke setiap negeri, saya akan buat ujian terhadap data itu di setiap bahagian bagi mengetahui tahap kesiapsiagaannya sama ada betul di bawah ataupun cantik di atas kertas sahaja.
“Kesiapsiagaan penting kerana bila pilihan raya jentera memainkan peranan dan Wanita memainkan peranan penting, Wanita sudah boleh buat kajian sikap dan peranan. Kami mahu masyarakat faham dan tahu peranan parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










