IPOH: Jenazah pengarah dan penerbit terkenal, Mamat Khalid, 58, yang meninggal dunia tengah malam tadi, selamat dikebumikan di Kampung Paloh di sini sebentar tadi.
Jenazah Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh pada pukul 2.20 petang.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Slim River ke kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 sekitar pukul 6 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan pada pukul 1.53 petang.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam.
Pengebumian jenazah Allahyarham dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, penduduk kampung dan rakan-rakan artis.
Antara rakan artis yang hadir, Datuk Awie, Datuk M. Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa, Bell Ngasri, Khir Rahman, Zul Ariffin, Zahiril Adzim, Bront Palarae dan Pekin Ibrahim selain Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Allahyarham yang juga adik kepada kartunis terkenal negara, Datuk Lat menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River pada pukul 12.30 tengah malam tadi.
Allahyarham sebelum itu pengsan di restoran miliknya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia. – UTUSAN










