Isteri tabah papah suami tiga kali sehari ke tandas - Utusan Malaysia

Isteri tabah papah suami tiga kali sehari ke tandas

SITI Zaiton menemani suaminya yang hilang upaya untuk berjalan akibat serangan strok di rumah mereka di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang suri rumah tabah memapah suaminya hilang upaya untuk berjalan akibat serangan strok ke bilik air, sekurang-kurangnya tiga kali sehari di Kampung Bendang Pak Yong, di sini sejak setahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Siti Zaiton Mohd. Yasin, 45, berkata, walaupun kesihatan sendiri tidak menentu kerana menghidap darah tinggi, dia tidak akan berhenti berbuat demikian demi suami yang dikasihi, Azmi Mat Yusof, 52,

“Setiap hari lebih tiga kali sehari saya perlu papah suami bergerak perlahan-lahan untuk ke bilik air yang jaraknya hampir 10 meter.

“Itulah rutin harian saya untuk membantu suami, saya akan teruskan selagi ada kudrat dan penyakit darah tinggi saya masih tidak serius” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di sini baru-baru ini.

Azmi terpaksa berhenti bekerja mengambil upah membuat pendawaian elektrik selepas serangan strok tersebut menyebabkan dia terlantar tidak berdaya dan perlu dibantu setiap masa, kira-kira setahun lalu.

“Alhamdulillah keadaan suami bertambah baik. Daripada terlantar lemah tidak berdaya, sekarang dia sudah boleh bangun, kemudian sudah boleh berdiri sekejap-sekejap. Dia juga tidak perlu memakai lampin pakai buang.

“Dia perlu makan ubat saraf dan darah tinggi setiap hari. Kami bersyukur sejak ditimpa ujian dan hilang pekerjaan, suami mendapat bantuan wang bulanan disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500,” katanya.

Memandangkan Siti Zaiton tidak boleh keluar bekerja meninggalkan suami, dia mencari pendapatan sampingan dengan cara mengopek ikan bilis di rumah dengan upah RM9 bagi setiap 10 kilogram.

“Kami mempunyai enam anak. Anak sulung perempuan berumur 23 tahun sudah berumah tangga manakala anak kedua lelaki berumur 21 tahun bekerja mengambil upah mengangkat barang. Dia yang bantu saya sara keluarga.

“Empat lagi anak masih kecil dan bersekolah berumur tiga hingga 18 tahun. Kalau boleh, saya nak bina bilik air yang lebih dekat dengan bilik untuk suami namun buat masa ini, masih tidak mampu kumpul duit,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.