Hidupan marin Pulau Tenggol bakal pupus - Utusan Malaysia

Hidupan marin Pulau Tenggol bakal pupus

SEBUAH bot nelayan melabuhkan pukat tunda berhampiran salah sebuah tempat menyelam dikenali Gua Rajawali di Pulau Tenggol, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Hidupan marin terutamanya terumbu karang di perairan Pulau Tenggol di sini diancam kepupusan berikutan aktiviti menangkap ikan secara haram menggunakan pukat tunda dalam kalangan nelayan tempatan dan asing semakin berleluasa.

Utusan Malaysia baru-baru ini menyaksikan sendiri ba­gaimana dua bot nelayan disyaki dari luar negeri ini me­labuhkan pukat tunda kira-kira 200 meter dari kawasan menyelam di Gua Rajawali di pulau tersebut.

Malah ada masanya, lebih 10 bot nelayan berada di pulau tersebut untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat tunda.

Pukat tunda bukan sahaja memusnahkan terumbu karang, malah semua spesies marin ke­rana ia mengaut semua hidupan yang dipukat di satu-satu kawasan.

Seorang pengusaha bot yang enggan dikenali berkata, pencerobohan nelayan terma­suk nelayan warga asing bukan perkara baharu sebaliknya sudah berlaku beberapa tahun lalu dengan masing-masing mempunyai modus operandi tersendiri.

“Nelayan haram terbabit menghampiri pulau tersebut dan kelihatan seolah-olah cuba berlindung daripada tiupan angin­ atau ombak kuat. Namun sebenarnya mereka sedang me­labuhkan pukat tunda.

“Perkara seperti ini telah lama berlaku dan bot-bot nelayan yang masuk kawasan Pulau Tenggol datang dari negeri lain berdasarkan kepada warna di bot terbabit,” kata pengusaha bot itu semasa ditemui baru-baru ini.

Sehubungan itu, pengusaha bot berkenaan mempertikaikan fungsi dan tanggungjawab pihak berkuasa yang terlibat bagi mencegah aktiviti penangkapan ikan yang disifatkan beliau sebagai tidak bertanggungjawab.

“Agak sukar melihat pihak berkuasa melakukan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di kawasan ini (Pulau Tenggol). Adakah mereka hanya bertindak apabila terdapat laporan atau melakukan pemantauan secara berkala?

“Kami bimbang terumbu karang akan rosak teruk dan hidupan marin di sini akan pupus jika nelayan dari luar negeri ini mengautnya. Sepatutnya ia perlu terus dijaga, lebih-lebih lagi menjadi tumpuan kawasan pelancong terutama untuk aktiviti selam skuba,” jelasnya.

Dalam masa sama, pengusaha bot berkenaan tidak menolak kemungkinan ada nelayan bersekongkol dengan operator resort untuk mengetahui maklumat sekiranya terdapat kehadiran pihak berkuasa.

Katanya, menerusi kerjasama itu aktiviti menangkap ikan secara haram lebih ‘selamat’ ke­rana mereka mempunyai ‘tonto’ untuk mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Pulau tersebut yang menempatkan pelbagai spesies hidupan marin antaranya bumphead, angle fish dan pelbagai spesies lain yang menjadi sebahagian khazanah negara.

Di samping itu, pulau tersebut juga pernah mencatatkan kehadiran ikan lumba-lumba selain yu paus.

Kawasan Taman Laut adalah zon larangan bagi sebarang aktiviti menangkap ikan menurut peruntukan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1994).

Mana-mana individu yang melakukan kesalahan menangkap ikan di kawasan larangan Taman Laut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya