BUKIT MERTAJAM: Wad yang menempatkan pesakit Covid-19 di Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini, dijangka ditutup sepenuhnya hujung minggu depan.
Pengarah HBM, Dr. Goh Hin Kwang berkata, pihaknya akan memfokuskan pula kepada usaha memindahkan pesakit sedia ada ke Hospital Kepala Batas (HKB).
“Pemindahan itu membolehkan kita memberikan tumpuan semula kepada rawatan pesakit bukan Covid-19 seperti sebelum ini,” katanya selepas mengiringi lawatan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim ke zon penempatan katil tambahan yang diletakkan berhampiran unit kecemasan hospital berkenaan, hari ini.
Yang turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HBM, Dr. Illiana Syahmun Mohd. Razally.
Operasi di kawasan zon penempatan katil tambahan itu dijangka bermula hari ini dan berfungsi sebagai zon transit untuk pesakit bagi tempoh sebulan yang pertama ini.
Mengulas lanjut, kata Hin Kwang, pertambahan 32 katil itu bukan sahaja akan digunakan untuk menempatkan pesakit Covid-19, malah juga boleh berfungsi sebagai katil untuk zon pengurusan bencana di hospital itu bagi tempoh jangka panjang.
Katanya, projek bernilai lebih RM500,000 itu menggunakan dana yang disumbangkan oleh pelbagai pihak antaranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi dan orang perseorangan termasuk legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang juga anak jati Pulau Pinang.
Menurut beliau, selain Chong Wei yang menyumbang hampir RM250,000 untuk projek tersebut, pihaknya juga menerima sumbangan daripada badan korporat lain seperti akhbar Cina, Kwong Wah Daily; Oriental Holdings, Sukarelawan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) dan sebagainya.
“Kita kena pastikan bahawa setiap sumbangan yang diterima ini digunakan sebaik mungkin sebab wang sumbangan itu adalah titik peluh masing-masing (penderma).
“Justeru, kita akan jadikan kawasan (zon pertambahan kapasiti katil) ini lebih fleksibel dan boleh digunakan sebagai zon pengurusan bencana selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE