KUALA LUMPUR: Sebanyak RM9,759,300 juta jumlah hasil kutipan saman yang diperoleh daripada pembayaran kompaun atau denda melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong berkata, jumlah itu meliputi saman yang dikeluarkan mulai 1 September 2018 hingga 30 September 2021, sejak Awas dijenamakan semula daripada Automatic Enforcement System (AES).
“Mulai 1 September 2018, semua aspek pengoperasian, penyelenggaraan, pembangunan dan penguatkuasaan Awas telah diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Jumlah hasil kutipan yang diperolehi daripada pembayaran kompaun atau denda Awas mulai 1 September 2018 sehingga 30 September 2021 adalah berjumlah RM9,759,300.
“Dalam hubungan ini, aktiviti penguatkuasaan melalui sistem Awas adalah masih berjalan seperti sedia ada berpandukan kepada kaedah dan garis panduan operasi standard yang telah ditetapkan di JPJ,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Wira Othman Aziz berhubung jumlah kutipan yang diperoleh daripada Automatic Enforcement System (AES) kerana kesalahan pemandu dan sama ada sistem itu akan diperkenalkan semula.
Pada masa sama, Henry memaklumkan, sebanyak 84,116 saman telah dikeluarkan sejak 2018 namun kutipan hasil saman telah berkurangan tahun ini.
“Sebanyak 77,233 saman dikeluarkan di bawah kesalahan had laju manakala lampu isyarat sebanyak 6,883 saman dengan jumlah keseluruhan 84,116 saman.
“Namun, penyelesaian saman agak berkurangan, apabila pembayaran saman di bawah kesalahan had laju adalah sebanyak 10,604 saman yang telah diselesaikan manakala bagi lampu isyarat hanya 1,703 saman telah diselesaikan dengan jumlah keseluruhan RM3,466,800 juta,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Othman berhubung keberkesanan sistem Awas setakat ini. – UTUSAN ONLINE