Harga purata ayam, telur terus stabil - KPDNHEP - Utusan Malaysia

Harga purata ayam, telur terus stabil – KPDNHEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Harga purata ayam nasional ketika ini berada pada sekitar RM8.70 sekilogram iaitu lebih baik berbanding RM10 direkodkan pada awal September lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, pemeriksaan pada 4 Oktober lalu mendapati, hanya dua daripada 560 premis yang diperiksa menjual ayam lebih daripada RM9.50 sekilogram.

Menurutnya, kejayaan menurunkan harga purata ayam itu adalah hasil kerjasama erat KPNDHEP dan pemain industri ayam dan telur di negara ini.

“Menerusi sesi libat urus dijalankan, mereka (pemain industri) bersetuju mengurangkan margin keuntungan masing-masing dan ia sekali gus membantu meringankan beban pengguna.

“Mereka bersetuju melihat semula kos dan keuntungan di setiap peringkat rantaian sehinggalah harga import makanan ternakan ayam kembali stabil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, ketika ini, harga purata nasional telur ayam Gred A (30 biji) ialah RM13.20, Gred B (30 biji) RM12.40, dan Gred C (30 biji) RM11.80.

Pada masa sama, KPDNHEP berkata, pihaknya memahami beban ditanggung pihak industri susulan kenaikan harga jagung dan protein soya di pasaran.

“Kenaikan itu memberi kesan kepada kos operasi di semua peringkat termasuk integrator makanan ternakan, penternak dan pengeluar, pemborong dan peniaga runcit.

“Ketika ini, harga jagung dan protein soya yang dIimport sepenuhnya meningkat sebanyak 72 peratus dari AS$236 per tan metrik pada tahun lalu ke AS$406 per metrik tan sejak pertengahan tahun ini,” katanya.

Katanya, KPDNHEP yakin kerjasama dalam semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan pemain industri akan mewujudkan situasi seimbang dan terkawal di pelbagai peringkat rantaian bekalan dan runcit ayam dan telur di pasaran tempatan.

Selain itu, katanya, KPDNHEP menggerakkan seramai 1,000 Pegawai Pemantau Harga dan 2,200 pegawai penguat kuasa dalam membuat pemantauan dan pemeriksaan di peringkat runcit, pemborong dan pengeluar setiap hari bagi memastikan barangan itu dijual pada harga berpatutan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN