Guru cemerlang Kimia terima anugerah antarabangsa - Utusan Malaysia

Guru cemerlang Kimia terima anugerah antarabangsa

V. KOMATHY menunjukkan modul mata pelajaran Kimia yang membantunya merangkul anugerah antarabangsa Global Teacher Award 2021. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang guru yang menerima Anugerah Guru Cemerlang Kimia sebelum ini, menerima anugerah antarabangsa Global Teacher Award 2021.

V. Komathy, 38, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ave Maria Convent di sini menerima pengiktirafan itu pada majlis yang diadakan secara maya di laman Facebook dan saluran Youtube AKS Education Awards petang tadi.

Komathy merupakan lulusan Sarjana Pendidikan Kimia dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sedang melanjutkan pengajian kedoktoran dalam Pendidikan Kimia di universiti sama.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui terharu dan terkejut apabila dimaklumkan oleh pihak penganjur mengenai kemenangannya menerusi email pada 29 September lalu.

Menurutnya, pengiktirafan itu menjadi penyuntik semangat dan motivasi kepada dirinya untuk membawa lebih banyak pembaharuan dalam pembelajaran Kimia.

“Penghargaan ini begitu besar dan sebagai guru, sudah tentu saya terharu dan berbangga kerana usaha kecil yang dilakukan selama ini mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Saya harap pengiktirafan ini dapat dijadikan inspirasi kepada guru-guru lain untuk berusaha lebih gigih mendidik anak bangsa dengan cemerlang,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau merupakan antara 26,000 peserta dari seluruh dunia yang disenarai pendek untuk menerima anugerah tersebut.

Komathy yang sebelum ini menerima Anugerah Wanita Inspirasi Global 2021 dan pingat emas Pameran Inovasi Saintis Muda Malaysia 2021 (Mysie2021) (Sains Persekitaran) berkata, kreativiti dan inovasi dalam pembelajaran mampu meningkatkan minat pelajar terhadap subjek sains.

Atas faktor itu, katanya, beliau sedaya upaya menambah baik kaedah mengajar menerusi penghasilan inovasi subjek Kimia bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah.

“Kimia subjek yang kurang digemari kerana penuh formula dan banyak melibatkan pengiraan, sebab itu perlu mendidik dengan cara menghiburkan untuk menarik minat pelajar supaya pelajar tidak mudah putus asa untuk belajar,” katanya.

Menurutnya, inspirasinya dalam mendidik ialah anak muridnya sendiri.

“Orang kata saya menjadi inspirasi kepada guru lain tetapi inspirasi saya lahir daripada anak-anak murid saya sendiri.

“Melihat keadaan mereka yang dahagakan ilmu membuatkan saya mengorak langkah lebih jauh dalam kerjaya guru,” katanya.

Sepanjang 14 tahun bergelar pendidik, Komathy bukan sahaja menjadi guru akademik bagi subjek Kimia, tetapi turut aktif dalam bidang inovasi sehingga namanya dikenali di peringkat antarabangsa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.