KUALA LUMPUR: Gabungan al-Quran dan teknologi dilihat mampu memanfaatkan umat Islam dalam mencari kebenaran dan fakta terhadap sesuatu perkara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, gabungan al-Quran dan teknologi dapat memperkuat dan memperjelas sesuatu fakta hujahnya dengan merujuk kepada hadis nabi, mazhab-mazhab, para sarjana, saintis Islam dan bukan Islam.
“Al-Quran dan teknologi tidak dapat dipisahkan. Ia adalah wahyu Allah yang diturunkan sebagai petunjuk, agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil, manakala teknologi ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia.
“Perhubungan teknologi dan agama dipandang sebagai perhubungan roh dan jasad. Teknologi dan agama saling menyempurnakan di antara satu sama lain. Alam tabi’i perlu difahami, dikaji dan manusia akan beroleh manfaat daripadanya,” katanya dalam perasmian penutup Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan (MTQJK) Tahun 2021 malam ini.
Beliau turut memberikan contoh bagaimana majlis tersebut menggunakan teknologi ke arah kebaikan seiring dengan prinsip Islam.
“Majlis ini menyaksikan teknologi menghubungkan 26 orang qari dan qariah johan-johan kebangsaan di seluruh negara yang bersiaran secara langsung dari 11 lokasi yang boleh disaksikan di pelbagai capaian media.
“Alunan ayat-ayat al-Quran dan ibrah huraian ayat pula dipancarkan kepada penonton menggunakan teknologi AR (atau augmented reality), yang menunjukkan Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada memaksimumkan penggunaan teknologi dalam kehidupan,” katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, majlis itu masih dapat dilaksanakan menunjukkan komitmen pihak kerajaan dalam menerapkan budaya membaca al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan dalam kehidupan seharian.
“Kini, untuk membaca al-Quran di mana jua menjadi lebih mudah. Seiring dengan teknologi dan keperluan umat Islam moden, al-Quran kini disediakan dalam pelbagai produk digital dan aplikasi perisian, malah, terdapat aplikasi yang juga menyediakan tafsir dan doa-doa pilihan. Semua hanya di hujung jari.
“Sejak penularan Covid-19, pembelajaran al-Quran secara dalam talian semakin mendapat tempat. Banyak institusi sama ada kerajaan mahupun swasta telah memperkenalkan kelas-kelas pembelajaran al-Quran seperti tajwid, talaqqi, tarannum dan hafazan secara dalam talian. Usaha murni tersebut memudahkan capaian masyarakat untuk mempelajari ilmu membaca al-Quran,” katanya.