ARAU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka wajar ditangguhkan terlebih dahulu bagi mengelak tercetusnya gelombang Covid-19 lebih besar sekali gus merencatkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berada di landasan terbaik ketika ini.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, pada masa ini, kerajaan dan pembangkang perlu bertoleransi dengan mengutamakan kebajikan rakyat yang teruk terkesan berikutan pandemik Covid-19.
Beliau yang juga Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS) berkata, setelah Covid-19 semakin reda, maka berdepanlah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memilih kerajaan terbaik.
“Sekiranya PRN Melaka berlaku, maka berkemungkinan negeri-negeri lain juga akan turut serta di dalam usaha menjatuhkan kerajaan sekali gus merugikan rakyat.
“Kalau dilihat, kita telah berada di dalam fasa kedua, ketiga dan keempat pelan pemulihan negara dan jangan disebabkan pergolakan politik ini, maka fasa pemulihan akan terbantut sekali gus merugikan rakyat dan kerajaan sendiri.
“Utamakan sosioekonomi rakyat dan titah Yang di-Pertuan Agong di mana kebajikan rakyat diutamakan perlu diberikan perhatian. Ketepikan pergolakan politik dan jangan kerana rakus kuasa dan tampuk kerusi pemerintahan, kita mengenepikan titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Pada Selasa lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan ke atas kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Keputusan itu menyaksikan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bagi memberikan peluang kepada rakyat Melaka untuk memilih mandat kerajaan yang baharu.
Tambah Kamarul Azman, negara bakal beralih ke fasa endemik dan biarlah rakyat membiasakan diri terlebih dahulu dengan suasana serta persekitaran baharu itu.
“Biar reda terlebih dahulu isu Covid-19 dengan rakyat perlu menjadi keutamaan. Jangan kerana rakusnya kuasa maka akibatnya rakyat menjadi mangsa.
“Keutamaan buat masa ini adalah rakyat didahulukan barulah kepercayaan akan kembali bersama kerajaan yang dinaungi itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE