Enam remaja tidak lengkap vaksin kunjungi pantai dikompaun - Utusan Malaysia

Enam remaja tidak lengkap vaksin kunjungi pantai dikompaun

NOR Omar Sappi (kanan) memberi nasihat kepada sekumpulan remaja bermotosikal dengan ada antara mereka tiada sijil vaksinasi lengkap dalam operasi pematuhan di Teluk Batik, Lumut, Perak, hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Enam remaja yang tiada sijil vaksinasi lengkap Covid-19 dikompaun kerana mengunjungi tempat peranginan di Teluk Batik dan Teluk Senangin, dekat sini hari ini.

Lima remaja berusia antara 19 dan 20 tahun yang mengikuti dua kumpulan konvoi bermotosikal dari Tanjung Karang, Selangor ke Teluk Batik itu dikesan sudah menerima suntikan dos kedua vaksinasi tetapi belum cukup tempoh matang 14 hari.

Seorang lagi remaja berusia 16 tahun dari Gerik di daerah Hulu Perak, juga belum cukup tempoh matang vaksinasi, dikesan mengunjungi pantai Teluk Senangin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, merela masing-masing dikompaun RM2,000 di bawah Akta Kawalan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurutnya, mereka dikompaun dalam operasi pematuhan melibatkan 46 anggota yang dilakukan pihaknya dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Pejabat Kesihatan Daerah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) di dua pantai peranginan itu hari ini.

“Sehingga kini, tujuh orang telah dikompaun kerana tidak memiliki sijil vaksinasi lengkap.

“Selain enam orang hari ini, seorang lagi ialah individu tidak divaksinasi dan merentas negeri yang mengunjungi Taman Rekreasi Marina Wings, Lumut, pada pukul 11.16 malam Isnin lalu,” katanya kepada pemberita selepas operasi di Teluk Batik di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, sejak kebenaran merentas negeri pada 11 Oktober lalu dan Perak memasuki fasa ketiga Program Pemulihan Negara (PPN) 18 Oktober lalu, daerah Manjung menerima kemasukan ramai pengunjung luar terutama di tempat tumpuan awam dan kawasan pelancongan.

Beliau berkata, sejak 18 Oktober lalu sehingga semalam, sebanyak 28 kompaun dikeluarkan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan 21 kes daripadanya ialah tidak memakai pelitup muka.

Sejak Mac tahun lalu sehingga semalam pula, sebanyak 3,721 kompaun kerana tidak mematuhi SOP dikeluarkan di daerah Manjung, menjadikannya daerah kedua tertinggi di Perak selepas Ipoh.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar memastikan diri lengkap divaksinasi dan mematuhi SOP ditetapkan jika mahu mengunjungi tempat tumpuan awam dan lokasi riadah serta pelancongan, untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Beliau juga meminta ibu bapa mengawasi pergerakan anak mereka yang belum lengkap divaksinasi tetapi pergi ke tempat awam dan tidak mematuhi SOP. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN