REMBAU: Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang pernah bertugas menyelenggara helikopter Nuri kini menjadi penternak arnab berjaya lebih setahun lalu.
Ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Gadong di sini semalam, Mohd. Azamil Mohd. Noor, 51, berkata, dia pada mulanya membeli dua ekor arnab pedaging jenis New Zealand White (NZW) di Bukit Badong, Kuala Selangor yang kemudian mahu menternaknya secara komersial selepas menyedari pasaran daging haiwan berkenaan makin meluas.
Menurutnya, dalam tempoh setahun, dia sudah berjaya menjual lebih 50 ekor arnab pelbagai jenis dan kini mempunyai 60 ekor arnab lagi yang bersedia untuk dijual.
“Biasanya kalau arnab pedaging, usia tiga bulan ke atas sudah boleh dijual sama ada untuk dijadikan arnab perap ataupun sate arnab. Arnab ini memang ada permintaannya lebih-lebih lagi arnab jenis NZW yang boleh mencecah berat tiga ke empat kilogram seekor.
“Selain arnab pedaging, saya juga memiliki koleksi ternakan arnab hiasan seperti Dutch, Mini Rex, dan teddy bear yang bulunya kembang serta perlu disikat bagi mengelakkannya bergumpal,” katanya.
Mohd. Azamil yang kini merupakan Imam 1 Masjid Kariah Kampung Gadong berkata, penjagaan arnab tidaklah terlalu sukar.
Menurutnya, dia tidak menyangka permintaan arnab amat menggalakkan apabila anak arnab berusia 41 hari juga sudah ada pembeli yang berminat.
“Harga anak jualan saya bergantung kepada jenis, saiz dan umur. Jika arnab hiasan ia agak mahal sikit berbanding arnab pedaging kerana boleh mencecah harga ratusan ringgit.
“Saya juga boleh menyediakan tempat atau sangkar arnab yang dilengkapi dengan tempat makanan dan air untuk dijual. Semua ini saya belajar melalui kursus dan juga di YouTube sahaja,” katanya.- UTUSAN ONLINE