Dron JAS Selangor kesan aktiviti pembakaran terbuka 

Dron JAS kesan pembakaran terbuka 

ANGGOTA penguat kuasa JAS Selangor memantau lokasi pembakaran terbuka di sebuah tapak pelupusan sampah haram berhampiran Kampung Johan Setia di Klang, Selangor baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebuah tapak pelupusan sampah haram di Kampung Johan Setia berdekatan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di sini, dikesan melakukan pembakaran secara terbuka semalam.

Perkara itu dihidu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menerusi dron yang melakukan rondaan pencemaran di kawasan Revolusi Hijau Johan Setia, kira-kira pukul 2 petang.

Pengarah JAS negeri, Nor Aziah Jaafar berkata, hasil pemantauan lanjut mendapati satu kebakaran berlaku di sekitar kampung berkenaan.

Katanya, pembakaran terbuka itu melibatkan sebuah tapak pelupusan sampah haram. 

“Siasatan mendapati tanah yang terbakar adalah tanah gambut yang sedang ditambak dengan menggunakan sampah industri dan domestik.

“Selain itu, terdapat sisa seperti binaan kayu dan kertas yang dipercayai turut menjadi punca pembakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Jelas beliau, kes berkenaan turut dirujuk kepada Pejabat Tanah dan Daerah Klang berhubung pelanggaran syarat nyata tanah. 

Tambah Nor Aziah, JAS sentiasa memberi peringatan kepada orang awam mengenai tindakan mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Individu yang melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Selain itu, kompaun maksimum RM2,000 boleh dikenakan atas setiap kesalahan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya