PASIR PUTEH: Medan ikan bakar di Tok Bali, di sini yang diberi julukan syurga makanan laut kembali ‘berasap’ selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri dan kelonggaran lain.
Operasi perniagaan deretan kedai makan di situ sebelum ini tidak beroperasi hampir 19 bulan, iaitu sejak mula-mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac tahun lalu.
Dalam tinjauan Utusan Malaysia semalam perniagaan di kesemua kedai makan tersebut kembali rancak dengan kehadiran ramai pengunjung.
Pemilik Restoran Ibunda, Zailani Ariffin atau lebih dikenali Kak Ani memberitahu, ikan bakar merupakan hidangan seisi keluarga yang tidak sesuai dinikmati secara bungkus atau pandu lalu, sebaliknya ia lebih enak dinikmati ketika panas di kedai.
Oleh sebab itu katanya, kekangan PKP memaksa pengusaha menutup operasi dalam tempoh yang panjang sekali gus menyebabkan ramai pekerja hilang mata pencarian dan terpaksa melakukan pekerjaan lain.
“Larangan makan di kedai, ditambah tidak boleh merentas daerah dan negeri sebelum ini menjerut leher kami yang mengharapkan pelanggan dari luar serta perantau yang balik bercuti di kampung.
“Selepas rentas negeri dibenarkan, kerusi dan meja dì restoran tidak mencukupi sehingga ada pelanggan terpaksa menunggu giliran di luar kedai bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Restoran Ibunda sebelum ini sering menjadi lokasi persinggahan artis tersohor dan pemain bola sepak yang mahu menikmati ikan bakar atau makanan laut celup tepung seperti sotong, udang dan ketam.
Sementara itu, seorang pembantu, Faizalrosdi Seman, 33, berkata, dia bersyukur apabila kesemua 15 pekerja restoran itu kembali dipanggil bertugas.

“Kehadiran pelanggan yang tidak putus-putus menyebabkan kami tidak menang tangan, biarpun restoran masih tidak dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh kerana perlu mematuhi SOP,” katanya. -UTUSAN ONLINE