Dana pembangunan Sarawak dalam Keluarga Malaysia tepat pada masanya - Utusan Malaysia

Dana pembangunan Sarawak dalam Keluarga Malaysia tepat pada masanya

DICK LEMBANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING:  Peruntukan dana bagi projek pembangunan asas khusus di Sarawak dalam Keluarga Malaysia pada masanya.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dick Lembang  justeru berharap, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bukan hanya sebagai retorik semata-mata menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

“Saya percaya dan berharap di bawah kedua-dua pimpinan ini, ia dapat direalisasikan dan bukan sekadar retorik kerajaan semata-mata untuk memancing undi setiap kali mahu pilihan raya.

“Malah, kita di Sarawak sememangnya memerlukan pembangunan terutamanya di kawasan pedalaman yang masih jauh ketinggalan dari arus pembangunan sejak dahulu lagi,” katanya kepada Utusan Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tumpuan pembangunan kepada enam negeri semasa melancarkan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuching Sabtu lepas.

“Bagi saya ia bukannya kerajaan sengaja tidak mengutamakan pembangunan untuk negeri Sarawak, tetapi disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan peruntukan, belanjawan dan juga beberapa isu berhubung “politiking” berlaku.

“Oleh itu, kita sangat berharap apabila kerajaan Persekutuan yang baharu memberi folkus fokus kepada pembangunan di Sarawak terutamanya pembangunan jalan raya yang menghubungkan luar bandar dan bandar di negeri ini,” tambahnya.

Terdahulu dalam ucapan perasmian Perdana Menteri, 50 peratus peruntukan pembangunan asas Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diagih kepada enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan Terengganu, Kedah dan Perlis membabitkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitatan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi memandangkan negeri negeri ini kurang maju.

Walau bagaimanapun, Dick menekankan semangat menjunjung kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu direalisasikan untuk memastikan pembangunan yang seimbang diantara Sabah, Sarawak dan Semenjanjung Malaysia.

“Dalam Perjanjian Malaysia 1963, kita merupakan rakan sekutu dan sama taraf dan pembangunan harus setaraf dengan apa yang ada di Semenanjung Malaysia, itu yang harus ditegaskan oleh kepimpinan Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN