Dadah lebih RM2 juta dilupus - Utusan Malaysia

Dadah lebih RM2 juta dilupus

KAMARUL Zaman Mamat memeriksa sebahagian dadah yang akan dilupuskan di IPK Kedah, Alor Setar, Kedah, hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah hari ini melupuskan sejumlah dadah bernilai lebih RM2 juta melibatkan kes-kes yang selesai bicara dan dijatuhkan hukuman antara 2014 hingga 2020.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dadah-dadah itu dibawa ke Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan bagi dilupuskan mengikut piawaian ditetapkan.

Katanya, antara dadah yang dilupuskan itu terdiri daripada 26 kilogram (kg) heroin, 13.1 kg methamphetamine serta pelbagai lagi jenis bahan terlarang antaranya serbuk erimin 5 dan pil kuda.

“Selain itu sebanyak 800 kg daun ketum bersama airnya turut dilupuskan.

“Kesemua barangan kes ini melibatkan 3,512 kertas siasatan yang telah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman di mahkamah bagi 2014 hingga 2020,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis (IPK) Kedah di sini hari ini.

Mengulas mengenai penglibatan golongan muda dengan dadah, Kamarul Zaman berkata, kebanyakan penagih muda didapati tidak hanya mengambil jenis-jenis dadah tertentu semata-mata, sebaliknya akan mengambil apa juga jenis dadah asalkan boleh menjadikan mereka khayal.

“Sebelum ini jika penagih mengambil heroin atau ganja, mereka kekal dengan dadah jenis itu sahaja tetapi kini keadaannya sudah berubah. 

“Kalangan penagih dilihat tidak kisah untuk mengambil lebih dari satu jenis dadah termasuk ‘cakoroi’ atau air ketum dicampur pelbagai bahan asalkan mereka merasa khayal.

“Kita panggil perkara ini sebagai ‘polydrug’ iaitu penggunaan lebih daripada satu jenis dadah oleh penagih. Ini antara cabaran yang perlu diatasi melibatkan penagih muda,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN