Covid-19 hikmah erat hubungan keluarga, dekat diri dengan Allah SWT

Covid-19 hikmah erat hubungan keluarga, dekat diri dengan Allah SWT

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pandemik Covid-19 perlu dilihat sebagai satu hikmah dalam aspek mengeratkan hubungan dengan keluarga serta dekatkan diri kepada Allah SWT dan bukannya menganggap wabak sebagai meragut dan mengubah kehidupan sahaja.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, masyarakat harus melihat wabak ini sebagai satu hikmah yang tersirat. 

“Kita akui, pandemik dan kehidupan norma baharu memberi impak besar namun kehidupan perlu diteruskan seperti biasa dengan semangat, pemikiran dan sikap yang positif.

“Kini, kebanyakan kerja boleh dilakukan secara dalam talian dan hampir dua tahun kita melakukannya. Justeru, diingatkan, jika kita lihat sesuatu perkara itu dari sudut positif, maka ia akan menjadi positif dan begitulah juga sebaliknya. 

“Jadikan ia sebagai peluang kita meluangkan masa, bermesra dan bermanja bersama keluarga selain mendekatkan diri dengan Allah SWT,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Kedua yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) secara maya di sini, semalam.

Selain dengan YTF, seminar bertemakan Wanita Dalam Mencari Kecemerlangan (WISE) ini turut mendapat kerjasama agensi-agensi agama Islam yang lain di negeri ini termasuklah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAIPs) dan Jabatan Mufti.

Tuanku Syed Faizuddin merangkap Penasihat Diraja YTF bertitah, golongan wanita tidak seharusnya menjadikan keluarga, suami mahupun anak-anak sebagai alasan mengetepikan impian masing-masing. 

“Wanita diharapkan mampu membuat keputusan bagi membentuk diri, keluarga dan masyarakat sekiranya mereka percaya pada kebolehan sendiri,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN