IPOH: Mengumumkan secara terbuka mahu bertanding di satu-satu kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan amalan mana-mana parti termasuk dalam Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional, Datuk Asmuni Awi berkata, keputusan memilih calon bertanding pada PRU-15 ditentukan pucuk pimpinan parti, bukan individu.
Menurutnya, apatah lagi soal pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PH belum dibincangkan.
“Tidak menjadi kebiasaan dalam mana-mana parti termasuk PH untuk menyatakan seseorang itu mahu bertanding di mana atau kerusi itu dipertandingkan untuk siapa.
“Soal siapa dan di mana akan bertanding, ia akan diputuskan oleh parti, bukan individu. Saya nampak ada individu yang menyatakan minat mereka secara terbuka tetapi sebagai sebuah parti politik, parti yang menentukan siapa dan di mana (bertanding).
“Dalam PH, ia akan diselesaikan menerusi perbincangan secara dalaman. Pembahagian (kerusi) belum dibincangkan tetapi saya yakin masing-masing ada hasrat namun akhirnya ia kena bincang,” katanya dalam sidang akhbar di Medan Selera Taman Meru, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai hasrat Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang menyatakan secara terbuka untuk bertanding di Parlimen Tambun pada PRU-15.
Mengenai perkara itu, Asmuni mengakui ramai yang berminat untuk bertanding di Parlimen Tambun dan perkara itu biasa menjelang pilihan raya.
Katanya, namun ia akan diselesaikan pada peringkat dalaman PH dan perbincangan serius mengenai pembahagian kerusi terutama kerusi Parlimen belum diadakan.
“Pembahagian kerusi belum dibincangkan tetapi saya yakin masing-masing ada hasrat (untuk bertanding).
“Kita akan bincang, tapi ini bukan bermakna Amanah akan beri laluan (di Parlimen Tambun). Belum masa sesuai untuk saya ulas lebih lanjut sebab kita tak tahu berapa kerusi (akan ditandingi) walaupun sudah ada perbincangan awal,” katanya. – UTUSAN ONLINE