Calon PRN Melaka ditentukan melalui rundingan bahagian - Tok Mat - Utusan Malaysia

Calon PRN Melaka ditentukan melalui rundingan bahagian – Tok Mat

MOHAMAD Hasan mengadakan sidang akhbar selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka. UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Semua yang berkaitan dengan senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan ditentukan melalui rundingan dengan ketua-ketua bahagian, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun masih belum dibincangkan setakat ini.

Ujarnya yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO, apabila perundingan menemui titik noktah, maka barulah senarai tersebut diputuskan di peringkat pusat dan kemudian Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menandatangani watikah calon.

“UMNO negeri telah diarahkan untuk menggerakkan pusat daerah mengundi (PDM) di semua peringkat mulai esok.

“Kesiap-siagaan di semua PDM perlu dilaksana segera dalam memastikan UMNO menang dengan majoriti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan ringkas dengan Biro Politik enam Bahagian UMNO Melaka di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita, Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Mengulas lanjut mengenai hasrat Perikatan Nasional (PN) ingin bekerjasama dengan UMNO, Mohamad berkata, Badan Perhubungan UMNO negeri boleh mengemukakan cadangan tersebut, tetapi hanya boleh diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Jelasnya, buat masa ini, parti itu belum memutuskan sama ada perlu bekerjasama dengan Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN Melaka, kelak.

Beliau berkata, setakat ini perkara tersebut belum dibincangkan sama ada di peringkat negeri atau Pusat.

“Kita belum putuskan lagi dengan parti mana kita akan bekerjasama menghadapi PRN tidak lama lagi.

“Yang penting sekarang, kita mestilah bersiap sedia menyiapkan parti memandangkan sebarang kemungkinan akan berlaku.

“Jangan kita mengharapkan kekuatan dari luar untuk membantu kita. Sewajarnya kita membina kekuatan dalaman sendiri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN