MELAKA: Ramai yang tidak percaya apabila sebiji burger boleh dijual pada harga RM2, malah wujud persepsi negatif terhadap kualiti bahan yang digunakan.
Namun bagi pemilik gerai, Noorshazrinie Iyali, 29, itu adalah perkara biasa baginya kerana ada yang tidak mempercayai burger yang menggunakan jenama terkemuka Ramly.
Katanya, bagi memastikan harga jualan sentiasa kompetitif, dia membeli sendiri barang niaga seperti salad, roti, sos, mayonis dan daging burger pada kos yang lebih rendah berbanding membeli daripada orang tengah.
“Tarikan utama burger RM2 adalah patty yang saya gunakan iaitu jenama Ramly dan ternyata menarik perhatian ramai pelanggan. Saya pernah cuba jenama lain tetapi sambutan tidak begitu menggalakkan.
“Saya dapat jual 200 biji burger sehari dan untung sekitar RM150 setelah ditolak pelbagai kos dan upah pekerja. Disebabkan harganya yang murah, saya sangat bergantung kepada kuantiti jualan untuk mendapatkan keuntungan yang diinginkan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini semalam.
Tambah Noorshazrinie atau Rinie, lokasi perniagaan yang strategik kerana terletak berhampiran beberapa taman perumahan utama di sekitar Bertam dan Cheng dekat sini membantu melonjakkan jualannya.
Katanya, dia turut menyediakan perkhidmatan penghantaran dalam radius 10 kilometer.
“Saya pernah terima tempahan lebih 100 biji burger sehari untuk majlis tertentu. Bagi saya tempahan antara 30 hingga 40 biji burger sehari adalah perkara biasa,” katanya yang hampir setahun berniaga di Taman Paya Emas.
Noorshazrinie mengakui pernah terlintas menaikkan harga jualan susulan kenaikan kos.
“Selagi saya boleh cari barang niaga pada kos murah, saya akan kekalkan dan berniat untuk bersedekah,” katanya.