PETALING JAYA: Air Selangor sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk melakukan kerja penyambungan paip awam bagi membekalkan air kepada penduduk di Kampung Melayu Bukit Tarek, Hulu Selangor.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Air Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Pejabat Tanah, Jabatan Perhutanan dan Penghulu Mukim Ulu Yam turut mengambil inisiatif membuat tinjauan di kampung tersebut semalam.
“Lawatan ini dilakukan susulan laporan Utusan Malaysia bertarikh Rabu lepas bertajuk, “30 tahun tiada air, elektrik dan jalan raya”,” katanya dalam hantar Facebook beliau semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penderitaan dihadapi penduduk kampung berkenaan yang berdepan masalah ketiadaan bekalan air dan elektrik serta jalan raya sejak 30 tahun lalu.
Walaupun kedudukan kampung itu berhampiran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), seramai 300 penduduknya masih melalui kehidupan menggunakan mesin penjana kuasa, bateri kereta dan panel solar untuk bekalan elektrik.
Malah, mereka juga masih menadah air hujan dalam takungan besar untuk kegunaan dan keperluan harian.
Menurut Tuan Ibrahim, wakil tersebut juga sudah bertemu dengan pemilik tanah dan akan mendapatkan beberapa butiran lanjut termasuk status tanah serta penduduk sebenar kawasan itu.
“Dianggarkan terdapat 40-50 unit rumah dalam kawasan seluas 840 hektar. Jarak kampung dengan jalan utama sekitar sembilan kilometer.
“Insya-Allah, Air Selangor sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk kerja penyambungan paip awam. Semoga urusan ini dipermudahkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE