Bot nelayan tempatan dikemudi warga Thailand ditahan  - Utusan Malaysia

Bot nelayan tempatan dikemudi warga Thailand ditahan 

Nelayan C2 sanggup `turun pangkat' untuk beli diesel harga subsidi. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga Thailand kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan. 

Bot itu ditahan pada kedudukan kira-kira 10.4 batu nautika barat daya Mukah Head di sini kira-kira pukul 1.19 petang semalam.

Pengarah Maritim negeri,  Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan oleh Kapal Maritim (KM) SIKUATI semasa melaksanakan rondaan rutin Op Benteng Laut. 

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu dikendalikan seramai 14 kru warga Thailand termasuk tekong berumur antara 37 hingga 74 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot terbabit telah melakukan pelbagai kesalahan antaranya lesen bot telah tamat tempoh dan permit menggaji warga asing tamat tempoh. 

“Malah, empat daripada kru asing itu juga didapati memiliki dokumen perjalanan diri yang telah tamat tempoh serta melanggar zon yang dibenarkan untuk penangkapan ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, bot dan hasil rampasan ikan kira-kira satu tan dan kesemua kru berkenaan ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban, dekat sini untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu dokumen perjalanan diri yang telah tamat tempoh,” katanya.

Dalam pada itu, Abd. Razak menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada. 

Katanya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya