Barisan Nasional dikompaun RM10,000 langgar SOP PPN

Pelancaran Jentera PRN Melaka: BN dikompaun RM10,000 langgar SOP

BN dikompaun RM10,000 kerana didapati melanggar SOP PPN ketika majlis Pelancaran Jentera PRN Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dikompaun RM10,000 kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) sewaktu Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Ibu Negara semalam.

Kompaun itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Kepong setelah BN gagal memastikan penjarakan fizikal yang merupakan arahan Ketua Pengarah Kesihatan seperti dijelaskan dalam SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut akaun Twitter Kementerian Kesihatan hari ini, surat kompaun ditujukan kepada Setiausaha Eksekutif BN mengikut Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Semalam BN melancarkan Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dihadiri pemimpin dan ahli parti.

Antara yang hadir ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tindakan itu menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai apabila orang ramai yang hadir didakwa tidak mengamalkan penjarakan fizikal sekali gus bimbang boleh mencetuskan penularan virus Covid-19.

Malah beberapa pihak menyifatkan ia sebagai pilih kasih ekoran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) semalam dikompaun RM4,000 kerana mengingkari larangan berhimpun dengan mengadakan sidang akhbar di hadapan Bangunan Stadhuys, Banda Hilir, Melaka.

BN melancarkan jentera PRN Melaka di Kuala Lumpur memandangkan tidak dapat dilakukan di Melaka kerana SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya Melaka termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN