SERI KEMBANGAN: Luluh hati seorang nenek apabila anak bongsu kepada pasangan Allahyarham Hasil Tahal dan Ida Haryanie Abdul Razak yang meninggal dunia akibat Covid-19 bertanyakan bilakah ibunya mahu bangun dari ‘tidur’.
Menurut neneknya, Intan Sulaiman, anak kecil berusia tiga tahun itu, Hannan Hasil belum mengetahui pemergian ibunya kerana masih tidak faham apa-apa jika diberitahu tentang kematian.
Lebih menyedihkan, katanya, apabila Hannan terpaksa berpisah dengan ibunya yang masih menyusu badan.
“Kadangkala dia tercari-cari ibunya, tanya bila ummi nak bangun tidur, lama sangat ummi tidur. Dia tak tahu ibu dia telah tiada.
“Abang-abang dia yang pujuk dan memberitahu, kalau nak jumpa ummi dan abi kita kena solat, doa supaya kita boleh jumpa sama-sama di syurga nanti. Anak-anak semua tak pernah tinggal solat dan puasa sejak kecil hasil didikan agama ibu bapanya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, mereka dikunjungi Menteri Sumber manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan menyampaikan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Allahyarham Hasil, 46, adalah pemilik syarikat kontraktor pembinaan meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 Kategori 5 pada 11 Ogos lalu dan lebih meruntun jiwa apabila ibu mereka Ida Haryanie, 38, seorang suri rumah pula pergi buat selamanya selang dua bulan kemudian pada 7 Oktober lalu akibat jangkitan virus yang sama.
Mereka berdua dimasukkan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan, hanya beberapa hari sebelum menyambut ketibaan Aidiladha pada Julai lalu.
Kelima-lima anak yatim piatu itu Hadrami Hasil, 11, Humaira Hasil ,9, Harraz Hasil, 8, Hawwas Hasil, 6, dan Hannan Hasil, 3, kini dijaga datuknya, Abdul Razak Basiron yang kini memikul tanggungjawab sebagai ‘ketua keluarga’ dan penjaga kepada anak-anak itu.
Menurut Intan, kedua-dua arwah baru mendapat suntikan vaksin dos pertama ketika dijangkiti Covid-19 yang turut menjangkiti kesemua anak-anaknya itu.
Namun, katanya, keadaan lebih teruk menimpa pasangan itu dan dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) dan ditidurkan selepas 64 hari menerima rawatan di wad itu.
“Anak perempuan saya tidak mengalami apa-apa penyakit sebelum ini, namun menantu saya ada penyakit asma. Dia terkena jangkitan ketika melakukan kerja amal menyampaikan bantuan bakul makanan kepada orang yang memerlukan ketika itu.
“Kami tidak sangka berlaku keadaan lebih teruk. Nasib baik kelima-lima anaknya pulih daripada jangkitan,” katanya menahan sebak. – UTUSAN ONLINE